Sharing precious moments in life!
Blog Owner : Ayah Cik Losong
We are supposed to enjoy sharing our precious things in life with others. Knowledge and experience in life are the two precious things that will keep increasing in their quantity and quality the more you share it with others.

06
August 2008 Wednesday @ 12:16:15 pm
Pengajaran dari cerita keldai dan Singa

1. Konsep "Delayed Gratification" iaitu melambatkan keseronokan tidak diamalkan di sini. Sepatutnya  keldai itu menggunakan rumput-rumput yang ada itu untuk membantunya melepaskan diri dan bukannya dimakan untuk mendapatkan keseronokan segera.

2.  Menggunakan apa yang ada disekitar untuk menyelamatkan diri. Ini tidak dilakukan

3.  Mengumumkan kesusahan kita kepada umum. Sehingga yang datang adalah bukannya kawan tetapi musuh.

4.  Tidak dapat membaca strategi Singa. Keldai akan selamat selagi berada di dalam lumpur kerana singa itu tidak akan menerkamnya selagi dia berada di situ


06
August 2008 Wednesday @ 11:44:30 am
Mengurus manusia (4)

Sambungan daripada Mengurus Manusia (3)

Sekiranya kita memberikan perhatian terhadap apa-apa yang dinyatakan di atas, apabila kita berinteraksi dengan seseorang akan mudah untuk kita membuat penilaian secara adil dan tepat terhadapnya. Ini adalah merupakan suatu ilmu yang sangat penting untuk dipelajari. Kita memerlukan manusia untuk menjadi rakan kongsi perniagaan, pekerja, pelanggan, pembekal, sahabat dan sebagainya. Ketidakmampuan untuk mengenali manusia akan menjerumuskan kita untuk membuat keputusan yang silap di dalam memilih individu yang silap untuk suatu tugas yang tidak sesuai, malah memungkinkan kita untuk memilih individu yang silap atau pengkhianat untuk bersama dengan kita di dalam segala urusan.

Sebelum kita terus keperingkat langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk mengenali manusia, perlu saya tegaskan di sini, kemampuan untuk kita melihat kepada sesuatu perkara dengan betul akan menjejaskan kemampuan kita untuk bertindak dan membuat keputusan yang betul. Perkataan “melihat” di dalam Bahasa Melayu adalah biasanya digunakan di dalam kedaan yang berbeza. Di dalam Bahasa Arab perkataan “melihat” itu sendiri diperkatakan di dalam pelbagai bentuk. Sebagai contoh:

1.Perkataan لمح (lamaha) (glance)

Perkataan ini digunakan untuk menggambarkan perbuataan melihat secara sekilas pandangan sahaja. Biasanya penglihatan sebegini tidak memberikan apa-apa kesan dan tidak bersambung dengan akal dan hati. Ianya biasanya akan dilupai selepas beberapa ketika.

2. Perkataan نظر (nathara) (look), رأى (ra'aa) (see)


Perkara ini digunakan untuk penglihatan secara umum. Ianya merupakan modal dan asas kepada aktiviti melihat. Bagaimana ianya akan dimanfaatkan bergantung kepada kemampuan individu tersebut.


3. Perkataan لحظ (lahatha) (observe, notice)


Perkataan ini digunakan untuk pemerhatian yang lebih fokus. Ia biasanya digunakan terhadap pemerhatian bagi menyelesaikan masalah matematik, memahami kaedah bahasa dan huraian-huraian di dalam buku. Ianya menggunakan akal fikiran untuk menggunakan penglihatan ditahap ini.


4. Perkataan تأمل (ta'ammala) (scrutiny, close examination, close observation)


Perkataan ini digunakan untuk pemerhatian yang lebih mendalam. Ianya melibatkan usaha untuk berfikir sepenuhnya terhadap objek yang dilihat itu dari segenap penjuru. Dari depannya, dari belakangnya, dari atasnya dan dari bawahnya.

5. Perkataan تدبر (tadabbara) (reflect on, ponder over, contemplate, meditate)

Perkataan ini digunakan bagi keadaan penglihatan yang paling tinggi. Ianya digunakan kepada penglihatan yang akan melibatkan objek itu secara mendalam bukan sahaja untuk objek itu sendiri sahaja bahkan untuk semua perkara yang berkaitan dengannya. Bagaimanakah penciptaannya, bagaimana kegunaannya. Bagaimanakah cara ia dapat digunakan untuk kebaikan dan bagaimanakah manusia boleh menggunakannya untuk keburukan. Dan sekiranya ianya digunakan untuk keburukan apakah cara-cara yang kita boleh lakukan untuk mengelakkan diri kita daripada kemudaratannya. Analisis yang mendalam berupaya dilakukan berkaitan dengan ojek yang dilihat itu. Ini adalah merupakan tahap penglihatan yang paling tinggi dan kebolehan ini hanya terdapat pada manusia. Sesiapa yang beramal dengan penglihatan yang diperingkat ini, insyaAllah akan berakhir dengan penemuan perkata yang hakikat iaitu bertemu dengan keesaan Allah swt pencipta pada alam ini.

Kaum Ansar di Madinah berupaya untuk memahami kehendak Islam dalam tempoh yang singkat. Mereka berupaya untuk memahami kehendak usaha menegakkan agama ini di dalam bentuk yang sukar difahami oleh umat pada masa ini. Apabila kaum Muhajirin berhijrah ke Madinah, mereka berupaya memberikan separuh harta mereka termasuk tanah-tanah, tanaman-tanaman dan ternakan mereka kepada kaum Muhajirin. Perkara ini adalah sesuatu perkara yang amat menakjubkan. Tidak terdapat mana-mana kaum di dunia ini yang sanggup berkorban sedemikian rupa kepada orang luar yang datang ke tempat mereka. Bagaimanakah mereka memperolehi kefahaman sebegini tinggi dan memiliki tahap keimanan yang sebegitu kuat walhal mereka tidak melalui mujahadah yang dasyat sebagaimana yang dilalui oleh kaum-kaum Muhajirin seperti Bilal bin Rabah, Amar bin Yaseer dan sebagainya. . Mengikut para alim ulama kebolehan ini dicapai melalui kemampuan mereka bertadabbur terhadap ayat-ayat alQuran yang disampaikan kepada mereka. Ayat-ayat al-Quran yang diturunkan di dalam Bahasa Arab iaitu bahasa yang mereka fahami dengan kemampuan mereka untuk melihat kepada ayat-ayat ini di dalam peringkat yang tertinggi (bertadabbur) membina keimanan mereka, membentuk cinta mereka kepada Allah dan Rasul dan memberikan mereka kekuatan untuk menjadi pembantu agama Allah dan pembantu RasulNya yang mulia.

Bahasa Arab yang sama juga difahami oleh kaum Quraisy di Mekah, tetapi ketidakmampuan atau keingkaran mereka untuk bertadabbur ke atasnya telah menjadikan mereka manusia yang sesat.

Bagi kalangan haiwan, pada kebiasaannya mereka hanya menggunakan penglihatan tahap 1 sahaja. Oleh itu mereka tidak belajar dan hanya melihat sekilas pandangan sahaja daripada apa yang berlaku disekeliling mereka. Sebagai contoh, seekor kambing yang melihat rakannya disembelih disebelahnya tidak langsung memberikan apa-apa reaksi. Ini adalah kerana mereka hanya melihat pada tahap 1. Sesetengah haiwan yang dilatih berupaya melihat pada tahap 2. Sebagai contoh, binatang-binatang sarkas, anjing peliharaan yang dilatih dan sebagainya. Walaupun begitu meraka bukannya berfikir dan menggunakan akal semasa melakukan sesuatu aksi tersebut. Mereka bertindakbalas berasaskan kepada “conditional reflex” hasil daripada latihan yang telah diberikan. Untuk haiwan mencapai tahap 3 itu adalah sesuatu yang mustahil.

Bagaimana dengan manusia? ...akan dihuraikan nanti...



05
August 2008 Tuesday @ 5:55:34 pm
Menguruskan Manusia (3)

Sambungan dari Menguruskan Manusia (2)

Adalah menjadi syarat alam ini bahawa untuk mendapatkan hasil di dalam sesuatu perkara usaha yang bersesuaian perlu dilakukan. Usaha yang sambil lewa tidak akan memberikan hasil sebagaimana yang dikehendaki. Usaha yang bersungguh-sungguh dengan cara yang salah juga tidak akan membuahkan hasil yang sebenar. Mengelakkan diri daripada bertemu muka (interfacing) dengan seseorang akan menghindarkan kita daripada mengenalinya. Melarikan diri dari melakukan sesuatu kerana takutkan berlakunya kesilapan akan menghapuskan peluang bagi kita untuk mencapai kejayaan. Mereka yang biasanya berjaya adalah mereka yang berani membuat sesuatu dengan mengambil kira risiko untuk gagal.  Bagi mereka yang takut untuk melakukan sesuatu kerana takut berlaku kegagalan, mereka juga akan terhindar daripada peluang memperolehi kejayaan. Sebahagian besar daripada aktiviti manusia memerlukan interaksi di dalam ertikata yang sebenarnya untuk mendapatkan hasil. Sebagai contoh, sekiranya anda ingin mengambil air dari perigi atau apa-apa bekas air, anda semestinya perlu untuk menenggelamkan timba atau dayung anda di dalam air terlebih dahulu demi untuk mendapatkan air tersebut. Sekadar menghayun timba atau gayung di atas air sahaja tidak akan mendatangkan apa-apa hasil.


Justeru itu, di dalam usaha anda untuk mengenali manusia, tidak dapat tidak anda perlu untuk berinteraksi dengannya di dalam kadar yang perlu untuk membolehkan anda mencapai apa yang anda inginkan itu. Menjauhkan diri dari manusia tidak akan menjadikan anda seorang yang semakin pintar malah akan menjadikan anda seorang yang jumud (beku) dan tidak berkembang di dalam pemikiran dan daya kefahaman tentang penghidupan. Ketidakmampuan untuk berinteraksi dengan manusia merupakan penghalang awal bagi anda untuk dapat mengenali dan seterusnya mengambil manfaat dan ilmu pengetahuan dari mereka. Untuk membolehkan anda berupaya berinteraksi dengan manusia, beberapa perkara perlu diberikan perhatian. Antaranya ialah:


  1. Tidak terlalu bersifat “Inferiority Complex”.

    Sifat “Inferiority Complex” sebegini banyak terdapat di kalangan sebahagian daripada individu di dalam masyarakat kita. Mereka yang memiliki sifat ini sentiasa merasa diri mereka hina dan tidak sesuai untuk berinteraksi dengan manusia lain. Sifat ini perlu kita hapuskan dari diri kita. Allah swt telah menjadikan setiap insan di dunia ini mempunyai ciri-ciri yang khas yang ada pada dirinya dan tiada pada orang lain. Seberapa hebatnya seseorang itu pada pandangan kita, ia tetap memiliki kelemahan yang mana besar kemungkinan kelemahannya itu tiada terdapat pada diri kita. Kelemahan tahap pendidikan, kekurangan rupa paras, kerendahan taraf penghidupan dan sebagainya tidak sepatutnya menjadi penghalang bagi kita untuk berinteraksi dengan masyarakat. Para sahabat Nabi saw dengan ciri-ciri fizikal yang berbeza, pakaian yang sederhana dan penghidupan yang ringkas berupaya untuk berinteraksi dengan raja-raja, gabenor-gabenor Rom dan Parsi dan dengan pelbagai golongan di pelbagai tempat tanpa menjadikan keadaan mereka itu sebagai halangan bagi mereka.

  2. Tidak bersifat angkuh

Sifat angkuh adalah merupakan sifat yang sangat dikeji di dalam agama. Seseorang yang bersifat angkuh sangat dimurkai oleh Allah swt. Walaubagaimanapun ramai di antara kita tidak menyedari kedatangan dan kewujudan sifat-sifat ini di dalam diri kita. Justeru itu adalah menjadi tanggungjawab kita untuk sentiasa menyemak dan menilai diri kita dari masa kesemasa untuk mengelakkan kita daripada terjebak di dalamnya.

Kewujudan sesuatu sifat di dalam diri seseorang tidak berlaku secara serta merta. Ianya berlaku secara beransur-ansur dan biasanya dipengaruhi oleh keadaan hati individu itu, persekitaran yang beliau sentiasa berinteraksi dan amalan hariannya. Hati yang ikhlas untuk mendapat kasih sayang dan keredhaan Allah swt dan suci serta bebas daripada keinginan untuk mendapatkan penghormatan dan kemulian manusia serta daripada keinginan untuk melarikan diri dari cemuhan manusia akan menyelamatkan seseorang daripada terjebak ke dalam sifat buruk ini.

Kedatangan sifat sebegini boleh kita kesan di dalam diri kita pada peringkat awal lagi apabila:

a) Kita suka bercerita tentang kehebatan diri kita, keluarga kita, anak-anak kita, rumah kita, kenderaan kita, negara kita dan apa saja yang ada hubungan dengan kita.

b) Kita berasa begitu seronok apabila diri kita dan apa-apa sahaja yang berkaitan dengan kita dipuji oleh orang lain.

c) Kita merasa jemu dan tidak selesa apabila mendengar orang lain bercerita tentang kelebihan di dalam sesuatu perkara yang bukan berkaitan dengan diri kita.

d) Kita suka memotong percakapan dan menafikan kenyataan yang dibuat oleh orang lain sebelum orang lain menghabiskan percakapannya. Sebagai contoh, apabila seseorang berkata punca kegemukan ialah memakan makanan dengan banyak, tetapi kita terus berkata tidak dan memotong cakapnya dan mengatakan puncanya ialah kerana kurangnya senaman. Walhal kedua-duanya adalah betul.

Semuga Allah swt memelihara saya dan kita semua daripada sifat ini.

  1. Bersedia untuk mendengar

Kemampuan untuk mendengar dengan penuh perhatian kepada percakapan orang lain adalah merupakan suatu kelebihan yang dimiliki oleh pemimpin-pemimpin yang berjaya. Mereka bukan sahaja mampu untuk mendengar apa yang diperkatakan oleh orang lain, malah mereka biasanya memanggil pakar-pakar di dalam bidang tertentu untuk menceritakan kepada mereka di atas sesuatu tajuk agar mereka akan dapat memahami sepenuhnya. Dengan ini barulah mereka akan dapat membuat keputusan dengan betul dan tepat.

  1. Bercakap dengan berorientasikan pendengar.

Percakapan kita dengan seseorang hendaklah disesuaikan dengan  tahap dan keadaan orang yang kita bercakap dengannya. Kemampuan menyesuaikan cara bercakap dengan tahap pihak pendengar adalah merupakan ciri-ciri asas bagi mereka yang berjaya di dalam komunikasi. Nabi saw bercakap dengan kaum Badwi dari padang pasir dengan cara dan pertuturan yang berbeza dibandingkan dengan percakapan Baginda dengan penduduk bandar.

Perkara ini hendaklah dilatih dan diuji oleh setiap daripada kita. Bagaimana cara untuk mengujinya. Setiap kali selepas kita bercakap dengan seseorang, cuba kita dapatkan kepastian bahawa beliau memahami sepenuhnya apa yang dicakapkan atau tidak. Sekiranya kefahamannya adalah minima, kita hendaklah melihat secara serious terhadap perkara ini dan juga perkara yang dinyatakan selepas ini. Usaha untuk membaikinya hendaklah dilaksanakan dengan segera.

  1. Teknik dan bahasa percakapan yang jelas

Ini adalah faktor yang penting di dalam aspek komunikasi. Sebahagian daripada kita bercakap dengan seseorang di dalam bentuk keluhan dan rungutan yang sukar difahami oleh sesiapa. Hendaklah kita pastikan percakapan yang dinyatakan itu adalah perkataan yang sebenarnya yang ingin kita sampaikan dan bukannya merupakan rungutan dan ulasan selari daripada fikiran kita. Ianya hendaklah jelas dan mempunyai maksud yang nyata.

Semua faktor yang dinyatakan ini adalah merupakan asas penting untuk membolehkan kita dapat berinteraksi dengan jelas dan teratur dengan manusia lain. Setelah kita mampu berinteraksi dengan betul, barulah kita mudah untuk mengenali manusia. Apabila kita dapat mengenali manusia barulah kita akan berupaya untuk menguruskan manusia di dalam kadar yang sesuai untuk setiap individu. Dengan ini kita akan berupaya untuk menjadi asbab bagi menyatukan umat , dan usaha yang sedemikian amat dicintai oleh Allah dan Rasul. Kita juga akan dapat menghindarkan diri daripada  manusia yang boleh memudaratkan kita dan dapat mengelakkan diri kita daripada berinteraksi dengan jangka yang panjang atau membuat transaksi perniagaan dan sebagainya dengan mereka.

InsyaAllah akan bersambung....



04
August 2008 Monday @ 4:38:32 pm
Cerita itek dan bapak ayam

Terdapat 7 ekor itek tinggal di dalam reban yang dibina dan diurus dengan baik. Mereka hidup dengan aman damai. Pada suatu hari datang seekor bapak ayam yang besar dengan balong yang merah dan paruh yang besar mengetuk pintu rumah.  Apabila salah seekor itek itu membuka pintu dan bertanya apakah hajatnya. Bapak ayam itu berkata:" Saya memerlukan sedikit air untuk diminum dan ingin mencari tempat untuk bermalam". Maka itek tadi telah membuka pintu dan membenarkan bapak ayam itu masuk. Sebaik sahaja bapak ayam tadi masuk ke reban itu, ia terus berjalan dan bersalam dengan setiap ekor itek-itek dengan cara seolah-olah seorang pemimpin sedang menziarahi rakyatnya.

Pada malam itu, bapak ayam itu tidur di dalam reban itek-itek itu. Pada awal pagi keesokannya, apabila bapak ayam itu bangun, ia terus bersuara: " Syukurnya saya, rumah saya ini masih kekal di dalam keadaan yang baik"

Itek-itek semua kehairanan kenapa bapak ayam itu berkata demikian. Salah seekor dari mereka bertanya, "Kenapakah kamu berkata demikian? Rumah ini adalah rumah kami bukannya rumah kamu".  Ayam itu pun berkata, "Jangan kamu menjadi bodoh, perkataan kamu itu hanya boleh digunakan semalam sebelum kamu membuka pintu, tetapi tidak lagi sekarang ini".
 


04
August 2008 Monday @ 4:26:50 am
Cerita Keldai dengan Singa

Bahasa Arab merupakan suatu bahasa yang sangat kaya. Oleh itu ianya merupakan suatu bahasa yang sangat sukar untuk kita menguasai sepenuhnya. Usaha ini lazimnya akan mengambil masa yang lama memandangkan kepada terlalu banyak aspek perlu diberikan perhatian di dalam usaha kita untuk menguasainya. Pada ketika ini banyak bahan bacaan saya adalah merupakan cerita kanak-kanak berbahasa Arab. Sekarang ni saya sedang membaca buku cerita yang mengandungi 50 hikayat haiwan. Hari ni saya akan cuba huraikan kisah Keldai dengan Singa ini untuk menjadi teladan kita bersama:

Pada suatu hari seekor keldai (himar) telah keluar untuk mencari makanan di suatu kawan yang subur. Ia telah menuju ke suatu kawasan yang dipenuhi rumput-rumput hijau dan rumput-rumput kering. Apabila si keldai itu tiba di tengah-tengah kawasan berumput itu, tiba-tiba, kakinya mulai tenggelam sedikit demi sedikit di dalam lumpur yang berada di bawah rumput-rumput itu. Semakin ia meronta, semakin dalam ia tenggelam. Pada ketika itu si keldai ini tidak memikirkan langsung bagaimanakah cara-cara yang ia boleh lakukan untuk melepaskan diri dengan menggunakan apa-apa kemudahan yang ada disekitarnya.

Si keldai tadi menghabiskan masanya dengan memakan semua rumput-rumput yang boleh dicapai oleh mulutnya disekitar kawasan itu. Kesemua rumput-rumput samada yang hijau atau yang kering yang boleh dicapai olehnya telah habis dimakannya. Keldai menjadi gembira kerana ia sekarang telah kekenyangan.

Tiba-tiba si keldai ini baru teringat yang ia masih terlekat di dalam lumpur dan tidak dapat keluar dari kawasan tersebut. Lalu iapun bertempik dengan sekuatkutnya. Tempikan dia telah didengari oleh Sang Singa si Raja Rimba. Sang Singa terus menuju kepada si Keldai dan bertanya. Si keldai pun berkata; "Tuan adalah Raja kepada hutan ini. Tuan adalah orang yang baik dan mulia. Tuan adalah gemar untuk menolong haiwan lain yang dalam kesusahan, tolonglah hamba". Maka Sang Singa amat gembira dengan pujian itu. Sang Singa berkata: "Memanglah aku raja di rimba ini dan semua yang kamu katakan itu betul. Sekarang aku akan menolong kamu". Maka Sang Singa pun mula mengumpulkan rumput-rumput kering yang ada di tempat lain dan dilemparkan kepada si keldai untuk diletakkan disekitarnya. Apabila rumput itu telah banyak, maka si keldai dapat mula berpijak di atasnya dan keluar dari dalam lumpur tersebut. Sang Singa menunggu dengan sabar semasa si keldai cuba mengeluarkan diri dari situasi yang sukar itu. Akhirnya si keldai dapat keluar dengan selamat dan sebaik sahaja si keldai telah berada di tempat kering yang selamat, maka Sang Singa terus menerkan dan memakan si keldai bodoh itu.

Apakah pengajaran dari kisah ini? Harap nyatakan kefahaman anda di dalam komen di bawah.

InsyaAllah next adalah cerita ayam jantan dan itek....


03
August 2008 Sunday @ 5:02:56 am
Mengurus manusia (2)

Ini adalah sambungan dari Mengurus manusia (1)

Bagaimanakah langkah-langkah yang perlu kita lakukan untuk kita dapat mengenali manusia. Pokok-pokok dan buah-buahan dikenali melalui sifat-sifat dan rupabentuk serta warna masing-masing. Haiwan dikenali dengan jenis pemakanan, tempat tinggal, cara mereka bergerak dan sebagainya. Pengenalan terhadap pokok-pokok dan haiwan adalah merupakan suatu bidang pengajian yang mudah. Ini adalah merupakan ilmu sains. Pengenalan terhadap manusia tidak dapat dilakukan sedemikian. Sebahagian bijakpandai cuba untuk membahagikan manusia secara saintifik juga sebagaimana pokok-pokok dan haiwan seperti bangsa, keturunan, ciri-ciri anggota badan, ketinggian dan sebagainya. Pembahagian seumpama ini hanya bermanfaat untuk tujuan akademik tetapi tidak memberi apa-apa makna di dalam aspek pengurusan. Ini adalah kerana manusia mempunyai akal yang membolehkan mereka untuk berfikir. Sejauh mana dan sebaik mana kemampuan mereka untuk berfikir akan menentukan sejauh mana perbezaan mereka di antara satu sama lain. Oleh itu, kita sebagai individu atau sebagai bakal pemimpin, perlu mempunyai ilmu pengetahuan di dalam menilai dan menentukan kategori manusia di dalam perspektif yang sebenarnya. Penilaian ini akan membantu kita untuk membuat keputusan terhadap langkah-langkah yang perlu kita lakukan apabila berhadapan dengan individu tertentu.

Ilmu pertama di dalam mengenali manusia ialah untuk membezakan manakah di antara manusia ini yang boleh dan bermanfaat untuk kita berinteraksi dengannya. Oleh itu adalah amat penting untuk kita mengenalpasti, adakah individu ini termasuk di dalam ciri-ciri manusia yang merbahaya dan memudaratkan sekiranya kita berinteraksi dengannya. Ilmu ini boleh juga dikenali sebagai ilmu “mengenali buaya”. (Sekiranya anda berpeluang, sila baca buku “Dancing with Crocodile” nama pengarang dan penerbitnya saya dah lupa....saya sekarang berada di Yemen, manakala buku tu ada kat Malaysia).

Manusia dikenali dengan tingkahlaku dan reaksi mereka terhadap sesuatu perkara. Oleh itu syarat pertama bagi pengamal ilmu ini ialah untuk menjadikan individu yang kita akan temui nanti di dalam keadaan yang selesa dan asli (Comfortable and Natural mode). Bukannya di dalam keadaan tertekan. Hanya apabila manusia berada di dalam keadaan selesa dan tidak tertekan, barulah sifat-sifat asli dan semulajadi akan terkeluar dari dirinya. Oleh itu, langkah pertama yang perlu dilakukan ialah untuk kita bersifat tawadhuk/ rendah diri (humble). Apabila kita bertemu dengan seseorang di dalam bentuk dan penampilan yang hebat, secara otomatik mereka akan mengubahsuaikan diri mereka samada di dalam bentuk tingkahlaku atau percakapan tertentu untuk menjadi seimbang dengan penampilan yang telah kita berikan. Mereka mungkin akan menceritakan perkara-perkara yang tidak benar demi untuk menyesuaikan diri dengan keadaan. Ini akan menyukarkan kita untuk membuat penilaian nanti. Lantaran ini ramai di kalangan usahawan-usahawan mudah tertipu dan dikhianati di dalam urusan perniagaan mereka. Ini adalah kerana langkah pertama di dalam usaha untuk mengenali manusia telah tidak dimaanfaati dengan baik. Justeru itu mereka telah memilih rakan perniagaan yang salah atau membuat transaksi perniagaan yang tidak tepat.

Untuk sessi ini, apa yang penting untuk kita ingati ialah, kita hendaklah bersifat tawadhuk/ rendah diri (humble) di dalam setiap urusan penghidupan kita. Ini adalah merupakan perintah agama dan sunnah Nabi s.a.w. Adalah amat penting untuk kita mendidik jiwa kita untuk memiliki sifat seumpama ini kerana sifat yang bercanggah dengannya adalah amat dibenci di dalam agama. “Sesiapa yang ada sedikit sifat takabbur di dalam dirinya, tidak akan berbau syurga”. Semuga Allah swt memelihara kita semua.


Jumpa lagi...



03
August 2008 Sunday @ 4:16:46 am
Melintang Patah (4. MEMULAKAN PERNIAGAAN)



MEMULAKAN PERNIAGAAN



Apabila seseorang ingin memulakan sesuatu perniagaan, beliau perlulah membuat keputusan yang penting di dalam beberapa perkara seperti:


a) Jenis perniagaan

i) Jual beli barang

ii) Perkhidmatan
         iii) Campuran di antara kedua-duanya

         vi) Pembuatan
         v) Lain-lain


b) Perseorangan atau perkongsian
c) Bentuk Pendaftaran dan Pengurusan

         i) Pendaftaran Perniagaan
         ii) Pendaftaran Syarikat



Setelah perkara tersebut dikenalpasti, barulah boleh seseorang itu memikirkan mengenai lokasi perniagaan, bilangan kakitangan dan jumlah modal yang diperlukan serta lain-lain lagi.


4.1 JENIS PERNIAGAAN

Pada kebiasaannya seseorang yang ingin menceburi di dalam sesuatu perniagaan telah mempunyai rancangan dan pilihan tentang jenis perniagaan yang akan di lakukan. Walaubagaimanapun bagi mereka yang belum membuat sebarang pilihan, berikut disenaraikan pedoman tentang cara membuat pilihan yang sesuai. Di antara faktor yang perlu dipertimbangkan adalah seperti berikut :

a) Kemahiran serta pengetahuan diri pengusaha.

b) Modal Kewangan

  1. Faktor-faktor lain :

i) Tunai ........ Kredit

ii) Margin Keuntungan

iii) Kawalan Inventori

iv) Kakitangan Profesyional

v) Perundangan


Contoh 4.1

Pak Hashim telah memulakan perniagaan menjual air tebu di Jalan Mangga sejak tahun 1980. Perniagaannya berjalan dengan baik dan menjadi tumpuan pelanggan-pelanggan menghilangkan dahaga sambil berehat di gerainya. Sambutan yang diterima amatlah membanggakan dan Pak Hashim telah berupaya untuk membiayai persekolahan anak-anak dan menyempurnakan keperluan kewangan keluarga melalui perniagaan ini.

Perkembangan Pak Hashim telah diperhatikan oleh Pak Jusoh. Pak Jusoh dengan dibantu oleh anaknya telah memulakan perniagaan yang sama (menjual air tebu) di sebelah gerai Pak Hashim. Oleh kerana beliau baru memulakan perniagaan seumpama ini sambutan yang diterima tidaklah seberapa. Setelah berniaga selama 4 bulan Pak Jusoh dan anaknya menutup gerai mereka.

Fenomena seumpama ini merupakan perkara yang biasa terutamanya di kalangan usahawan bumiputera. Apabila dilihatnya orang lain berjaya di dalam sesuatu perniagaan, kitapun merasakan bahawa kita akan memperolehi kejayaan yang sama atau lebih sekiranya kita turut menceburi bidang tersebut. Maka tidak hairanlah sekiranya kita melihat wujudnya suasana di mana sederetan 5 hingga 10 kedai yang menjual perkara-perkara yang sama di dalam sesuatu bandar atau pekan. Alangkah baiknya sekiranya Pak Jusoh tadi bersikap lebih kreatif dengan membuka gerai menjual produk lain seperti air batu campur, air kacang soya dan sebagainya. Tanpa menggunakan pendekatan kreatif kita akan sentiasa ketinggalan di dalam setiap bidang yang kita ceburi. Matlamat untuk mewujudkan usahawan yang berdaya saing hanya akan menjadi impian sahaja.

`Untuk berjaya di dalam perniagaan jadilah orang yang pertama, jika tidak dapat menjadi orang yang pertama, jadilah orang yang lebih baik daripada yang pertama. Jika tidak dapat menjadi orang yang pertama dan tidak dapat menjadi orang yang lebih baik daripada orang yang pertama, gunakanlah pendekatan yang berlainan. Sekiranya tidak dapat menjadi orang yang pertama, tidak dapat menjadi lebih baik daripada yang pertama dan tidak mampu untuk menggunakan pendekatan yang berlainan makaanda telah membuang masa ’.


4.1 A KEMAHIRAN SERTA PENGETAHUAN DIRI


Telah menjadi suatu kebiasaan bagi usahawan yang telah menerima latihan dan pengalaman untuk membuka perniagaan sendiri di dalam bidang yang beliau telah mahir dan yakini. Beliau akan menggunakan segala kebolehan, kepandaian dan pengalaman yang telah diperolehi dari tempat lain untuk memaju dan menjayakan perniagaan yang beliau mulakan itu.

Walaupun begitu kadangkala terdapat juga mereka yang memilih perniagaan berpandukan kepada keuntungan yang beliau jangkakan walaupun beliau sebenarnya tidak mahir di dalam bidang tersebut. Mereka yang seumpama ini akan berhadapan dengan risiko yang besar sekiranya mereka tidak mahir di dalam bidang pengurusan perniagaan.

Terdapat juga usahawan yang memilih jenis perniagaan yang ingin diceburi dengan berpandukan kepada ‘glamour’ sesuatu jenis perniagaan tersebut. Sekiranya perniagaan yang melibatkan pakaian yang comot dan tidak terurus maka ianya tidak akan diminati.

Kemahiran seseorang di dalam pengurusan akan membantu syarikat untuk memaksimumkan kegiatan dan memenafaatkan sebarang risiko yang ada. Umpamanya seorang yang tidak ada langsung latarbelakang ilmu perubatan telah berjaya mengendalikan hospital dengan berpuloh-puloh orang pakar perubatan dan kakitangan profesional yang lain. Inilah kelebihan mereka yang mempunyai sifat keusahawan yang dipadukan dengan pengetahuan pengurusan.


4.1 B MODAL KEWANGAN


Jumlah modal kewangan boleh menentukan jenis perniagaan yang akan diceburi dan saiz perniagaan tersebut ketika hendak dimulakan. Sekiranya modal kewangan terlalu sedikit seseorang usahawan hendaklah memulakan perniagaan berbentuk runcit yang memerlukan biaya yang sedikit.

Jangan mudah terpedaya dengan pinjaman-pinjaman dan kemudahan-kemudahan kredit yang dijanjikan oleh pembekal-pembekal. Kemudahan kredit sumpama ini boleh digunakan tetapi hendaklah secara berhati-hati dan dengan penuh perkiraan.

Cara yang paling baik ialah dengan mematuhi kepada segala rancangan perniagaan yang telah kita siapkan dan sekiranya terdapat perbezaan daripada apa yang telah di rancangkan dengan perniagaan sebenar, tindakan pembetulan hendaklah dilaksanakan dengan seberapa segera. Justeru itu rancangan perniagaan adalah merupakan sesuatu yang sangat penting untuk digunakan sebagai pedoman. Walaubagaimanapun sebahagian daripada usahawan hanya menyediakan rancangan perniagaan bagi tujuan mendapatkan pinjaman kewangan. Oleh itu fakta yang disediakan biasanya tidak tepat daripada jangkaan yang sebenarnya. Rancangan perniagaan seumpama ini tidak akan dapat digunakan sebagai pedoman di dalam menjalankan perniagaan.

Di samping itu setiap usahawan hendaklah menyediakan modal kewangan yang mencukupi untuk membiayai perniagaan sekurang-kurangnya sehingga 6 bulan selepas titik pulang modal (break-even) yang telah kita jangkakan di dalam rancangan perniagaan. Sekiranya amalan seumpama itu dapat dilaksanakan , maka segala perlaksanaan di dalam memulakan sesuatu perniagaan akan menjadi licin dan mudah.

Para usahawan boleh berusaha untuk mendapatkan pinjaman tetapi pastikan segala pinjaman yang diperolehi adalah digunakan dengan sepatutnya. Jangan mudah dikaburi oleh jumlah wang ringgit yang banyak. Usahawan baru yang tidak mempunyai sumber kewangan yang banyak tidak perlu ghairah berbelanja. Perbelanjaan bagi membeli sebarang aset tetap (contoh: kereta, bangunan, perabut, ubahsuai bangunan dan lain-lain) hendaklah diminimumkan. Sebaliknya usahawan berkenaan hendaklah menggunakan sumber kewangan semaksimum mungkin untuk modal kerja (working capital). Elakkan diri daripada terperangkap seperti sesetengah usahawan yang terpaksa “gulung tikar” kerana ketiadaan tunai di dalam perniagaan akibat daripada kesilapan menggunakan pinjaman jangka pendek untuk membeli aset tetap.

Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa jika kail panjang sejengkal janganlah diduga lautan yang dalam. Di dalam konteks keusahawanan, ‘kail’ (joran) yang digambarkan di sini yang sebenarnya adalah sifat keusahawanan dan ilmu pengetahuan. Modal kewangan adalah seumpama umpan yang digunakan di mata kail tersebut. Biasanya saiz umpan dan mata kail akan menentukan saiz tangkapan yang akan diperolehi. Manakala kemampuan untuk memancing (‘menduga’) di tempat yang lebih mencabar dan lebih dalam bergantung kepada keadaan serta ketahanan/kepanjangan joran/kail itu sendiri. Sekiranya usaha hanya dilakukan untuk membekalkan pinjaman dan bantuan kewangan kepada usahawan tanpa menjalankan sebarang usaha untuk mewujudkan sifat-sifat keusahawanan serta menambahkan ilmu pengetahuan, ianya hanyalah seolah-olah menambahkan saiz umpan yang digunakan. Maka tidak hairanlah wujudnya usahawan yang tidak berupaya untuk melawan arus cabaran perniagaan masakini. Apatah lagi untuk ‘menduga di lautan yang dalam’ dengan melibatkan diri di dalam bidang yang lebih mencabar. Sekiranya bernasib baik beliau akan memperolehi keuntungan yang besar (biasanya beliau dibantu untuk mendapat projek tersebut dan bukannya ‘mengail’ bersama orang lain atau ‘memasuki padang permainan dengan menggunakan undang-undang yang sama seperti orang lain’). Usahawan sebegini tidak mampu untuk bersaing kerana pembinaan diri yang sebenarnya tidak dilakukan. Terdapat juga pihak yang akan menyalahkan kerajaan kerana tidak membantu para usahawan menghadapi cabaran-cabaran seperti peningkatan kos sewaan bangunan dan kos-kos lain. Mereka mahukan kerajaan membantu mereka untuk menghadapi persaingan digelanggang yang mereka sendiri. Usahawan yang sebegini perlu dahulu cuba mengenali diri sendiri. Sekiranya dirasakan ‘kail’ nya belum panjang, janganlah bersifat tamak untuk terus ke lautan yang dalam. Kita hendaklah melihat kemampuan diri dahulu dan membuat sesuatu berpandukan kemampuan diri tetapi berusaha menuju wawasan yang lebih tinggi.


Seekor udang tidak akan gentar kepada naga selagi ia berada di air yang cetek’ -Pepatah Asia


4.1 C FAKTUR-FAKTUR LAIN


a) Tunai ......... kredit


Tidak semua perniagaan yang hanya melibatkan transaksi wang tunai.Di restoran, kedai alat-tulis (runcit), perkhidmatan basuh kereta dan seumpamanya urusan transaksi harian biasanya berbentuk tunai. Bagi perniagaan yang menjalankan urusniaga melibatkan transaksi wang tunai, penyeliaan terhadap penerimaan dan pengeluaran wang hendaklah dilakukan dengan ketat dan sebaik yang mungkin. Kebanyakan perniagaan terutamanya perniagaan borong atau tender, pembayaran biasanya dibuat secara kredit. Sekiranya persediaan dan perancangan kewangan tidak dilakukan terlebih dahulu maka pengusaha berkenaan berkemungkinan menghadapi masalah terhadap kawalan aliran wang tunai serta masalah di dalam memungut hutang dari penghutang.

Terdapat sesetengah usahawan sudah merasakan begitu gembira hanya dengan melihat kepada jumlah jualan yang begitu banyak sedangkan sebahagian besar dari jualan itu sebenarnya telah dilakukan secara kredit. Kesilapan itu hanya disedari apabila menghadapi masalah di dalam usaha menuntut pembayaran dari pihak penghutang atau setelah duit tunai tidak mencukupi.


b) Margin keuntungan


Sesetengah perniagaan mempunyai margin keuntungan yang besar tetapi pembayarannya dibuat secara kredit, dan ada jenis-jenis perniagaan yang mempunyai margin keuntungan kecil tetapi pembayarannya dibuat secara tunai. Para usahawan perlu mengkaji dan memahami implikasinya sebelum membuat sebarang keputusan di dalam perkara yang berkaitan dengannya. Sekiranya margin keuntungan adalah kecil maka jumlah keuntungan akan banyak bergantung kepada banyaknya (volume) jualan. Namun begitu usahawan tersebut perlulah bersifat kreatif dengan memperkenalkan perkhidmatan atau produk-produk yang mempunyai margin keuntungan yang tinggi sebagai sampingan kepada perniagaan asal.


c) Kawalan Inventori (Stok)

Bagi perniagaan yang membekalkan perkhidmatan (servis), masalah kawalan inventorti tidak akan timbul tetapi bagi perniagaan yang melibatkan barangan terutamanya sektor pembuatan dan penjualan (secara borong atau runcit), pengetahuan mengenai kawalan inventori (stok) adalah amat penting. Perlu diingatkan bahawa ‘kubur’ bagi peniaga terletak di dalam dua perkara:

i) Inventori (bahan mentah, barang separuh siap atau barang yang telah siap) yang belum dijual.

ii) Penghutang ( hutang yang belum diterima)

Ramai usahawan yang terlalu ghairah membuat pembelian stok tetapi tidak berupaya untuk menjualkannya dengan segera. Ini seterusnya membebankan aliran tunai syarikat. Perkara ini biasanya berlaku apabila kita mudah terpedaya dengan tawaran bonus atau diskaun tertentu daripada pihak penjual.

Begitu juga ramai usahawan yang terlalu ghairah membuat penjualan tetapi semuanya secara kredit. Ini membebankan kewangan syarikat terutamanya jika pembelian stok dibuat secara tunai. Peniaga yang cerdik akan menjual dengan jangka kredit yang lebih pendek daripada jangka kredit yang diperolehinya daripada pembekal.

Ketidakmampuan untuk mewujudkan sistem kawalan inventori yang sempurna merupakan salah satu faktor penyebab kurangnya usahawan bumiputera melibatkan diri di dalam perniagaan yang berbentuk supermarket, emporium dan sebagainya. Apa yang ada hanyalah sekadar mini market dan kedai runcit sahaja. Di dalam mini market atau kedai runcit, kawalan inventori hanyalah dilakukan dengan mata kasar sahaja. Apabila dilihat kekurangan bahan-bahan tertentu maka barulah pembelian akan dilakukan. Bagi sesebuah supermarket atau gedung perniagaan yang besar, cara pengurusan sebegini tidak boleh dilakukan. Peniaga bukan sahaja perlu mengetahui dengan tepat jumlah inventori (stok) yang ada di dalam setiap bahagian (department) malah mampu untuk mengesan senarai stok yang kurang laku, melepasi tempoh tamat (expiry date) bagi sesuatu bahan dan sebagainya. Di sini terdapat bukti yang kukuh bahawa kekuranganilmupengetahuan adalah merupakan faktor utama dalam melambatkan usaha untuk memajukan sesuatu masyarakat.

d) Kakitangan Profesional

Masalah yang melibatkan kakitangan profesional ini hanya akan dialami oleh usahawan yang melibatkan diri di dalam perniagaan yang menggunakan tenaga-tenaga profesional (Contohnya : Klinik Perubatan, Farmasi, Firma Perakaunan dan lain-lain). Setiap ahli profesional mempunyai kebolehannya tersendiri untuk menjalankan operasi perniagaan dan berpotensi untuk mengusahakan sendiri perniagaannya pada bila-bila masa. Justeru itu, hanya peluang yang benar-benar menarik disertakan dengan syarat-syarat perkhidmatan yang meyakinkan mampu menarik dan mengekalkan tenaga profesional bertugas di dalam sesuatu organisasi. Sekiranya ini tidak dapat diwujudkan, besar kemungkinan para profesional itu datang hanya untuk mendapatkan pengalaman sahaja. Sebaik sahaja beliau memperolehi pengalaman yang dirasakan sudah mencukupi, beliau akan meninggalkan organisasi tersebut untuk membuka firmanya sendiri.

Justeru itu sebarang perniagaan yang melibatkan golongan ini hendaklah dirancang dengan lebih teliti dari awal-awal lagi. Aspek yang perlu diberikan perhatian di dalam perancangan perniagaan yang melibatkan para profesional akan dihuraikan di dalam sebuah buku yang akan menyusul nanti. InsyaAllah.

Contoh 4.1 C (d)

Dr. Zul telah membuka sebuah klinik di Jalan Mawar. Klinik beliau telah beroperasi dengan baik dan berjaya menarik ramai pesakit yang datang mendapatkan rawatan. Daripada seorang kawan beliau telah mendapat tahu bahawa terdapat sebuah bangunan kosong yang amat sesuai untuk dijadikan klinik hendak disewakan di Taman Teratai. Tanpa berfikiran panjang Dr. Zul terus menyewa bangunan tersebut dengan kadar sewa sebanyak RM 1,500 sebulan. Ubahsuaian bangunan telah dilakukan untuk dijadikan sebagai sebuah klinik perubatan. Dr. Zul bercadang untuk menggajikan seorang doktor supaya bertugas di klinik tersebut setelah segala kerja pengubahsuaian bangunan tersebut selesai dan segala peralatan di sempurnakan. Pada waktu yang sama beliau dimaklumkan bahawa terdapat sebuah lagi bangunan yang sesuai untuk dijadikan klinik di Taman Indah. Tanpa berlengah beliaupun menyewa bangunan tersebut juga untuk dijadikan klinik dengan harapan untuk mewujudkan satu rangkaian klinik Zul. Kerja ubahsuaian bangunan dan pembekalan peralatan serta ubat-ubatan juga dilakukan di bangunan tersebut.

Apabila ditanyakan kenapakah beliau bertindak sedemikian beliau berkata bahawa sekiranya bangunan tersebut tidak di ambil pada masa tersebut mungkin peluang untuk mendapatkannya di masa hadapan tiada lagi tetapi sebelum usaha-usaha tersebut berjaya disempurnakan, beliau telah kehabisan modal kerana beliau telah menggunakan hampir kesemua wang simpanan yang beliau miliki. Beliau telah berjaya mendapatkan pinjaman bank bagi membiayai dan menyiapkan projek tersebut. Pada masa yang sama beliau mula berusaha untuk mendapatkan beberapa orang doktor untuk bertugas di klinik-klinik berkenaan. Iklan-iklan telah dikeluarkan di dalam pelbagai jenis akhbar tetapi tidak berhasil. Di samping itu berpuluh-puluh orang doktor telah beliau pujuk untuk menyertai rangkaian klinik tersebut tetapi tidak juga berhasil. Punca utama yang menyebabkan doktor-doktor tidak ingin menyertai beliau ialah kerana ketidakupayaan beliau untuk menawarkan skim perkhidmatan yang menarik dan prospek masa depan yang positif. Oleh kerana Dr. Zul telah banyak menghabiskan masa beliau dengan urusan pengubahsuaian bangunan, pembelian peralatan, ubat-ubatan dan lain-lain perkakas maka beliau tidak lagi mempunyai waktu dan peluang yang baik untuk memikirkan tentang perancangan jangka panjang kliniknya. Setelah 6 bulan menanggung segala perbelanjaan sewa dan sebagainya bagi kedua-dua bangunan itu tanpa sebarang operasi, beliau telah berusaha untuk mendapatkan pinjaman dari bank-bank lain untuk menambahkan modal kerja tetapi tidak berjaya. Beliau mula menerima amaran dari pemiutang-pemiutang perdagangan (pembekal ubat-ubatan) kerana tidak berupaya menjelaskan hutang klinik beliau sebagaimana disyaratkan.

Saya berjumpa dengan beliau dua tahun kemudiannya. Pada ketika itu beliau telah menjualkan segala peralatan dan ubat-ubatan di dalam kedua-dua bangunan tersebut (dengan harga yang lebih murah) dan pada ketika itu beliau terpaksa bekerja dua puloh empat jam sehari bagi menjelaskan hutang-hutang yang masih tertunggak.


Di dalam sesuatu perniagaan terutamanya bidang yang melibatkan kepakaran tertentu atau melibatkan para profesional maka kita hendaklah berhati-hati di dalam menentukan apakah keutamaan (prioriti) yang perlu diberikan tumpuan. Sebagai contoh, untuk membuka sebuah rangkaian klinik kita perlu melihat di manakah keutamaan yang perlu diberikan di antara kelima-lima perkara berikut iaitu: bangunan, peralatan perubatan, ubat-ubatan, doktor dan pembantu klinik (kakitangan sokongan).

Di dalam kes di atas, Dr Zul telah memberikan keutamaan kepada bangunan, diikuti oleh peralatan perubatan dan seterusnya pembekalan ubat-ubatan. Ada juga di kalangan sesetengah doktor yang mengutamakan kakitangan sokongan, diikuti oleh bangunan dan perkara-perkara lain seperti ubat-ubatan dan peralatan perubatan.

Pemerhatian saya ke atas mereka yang telah berjaya di dalam perniagaan ini mendapati bahawa tumpuan yang diamalkan adalah mengikut keutamaan berikut:

1. Doktor

2. Ubat-ubatan

3. Peralatan Perubatan


         4. Bangunan

5. Kakitangan-kakitangan klinik


Dengan kehadiran doktor di dalam sesuatu organisasi sudah berupaya untuk menjanakan pendapatan kepada organisasi tersebut. Ini bergantung kepada kreativiti pihak pengurusan di dalam menggunakan kepakaran doktor tersebut. Terdapat beberapa cara untuk menjanakan pendapatan kewangan melalui kepakaran kedoktoran tanpa memerlukan ubat-ubatan, peralatan dan sebagainya. Umpamanya, terdapat doktor yang boleh bertugas hanya dengan memberi kaunselling dan nasihat profesional atau preskripsi sahaja. Aktiviti seumpama ini tidak memerlukan sebarang ubat-ubatan, bangunan, kakitangan atau peralatan perubatan yang canggih. Secara terperinci cara ianya dilaksanakan akan dihuraikan di dalam buku saya yang akan datang. InsyaAllah.

Di dalam kes seumpama Dr Zul di atas adalah baik bagi pihak pengurusan terlebih dahulu membuat kajian secara mendalam dan terperinci tentang cara-cara untuk mendapatkan para doktor/profesyenal dengan cara yang mudah dan bagaimana untuk mengekalkan mereka di dalam organisasi tersebut sebelum memulakan langkah-langkah seterusnya.

e) Perundangan

Sesetengah perniagaan tidak terbabit dengan syarat-syarat yang ketat serta lesen-lesen tertentu oleh pihak berkuasa manakala sesetengah perniagaan pula hanya dapat dijalankan setelah memperolehi pelbagai jenis lesen dan/atau permit yang telah ditetapkan. Terdapat juga pengusaha yang telah membuat segala jenis persiapan terhadap bangunan, kakitangan, stok dan sebagainya tetapi masih belum mendapatkan kelulusan daripada pihak-pihak berkuasa. Justeru itu perniagaan beliau tidak dapat dilaksanakan secara sah di sisi undang-undang. Oleh itu aspek perundangan perlu diberikan perhatian serius oleh setiap usahawan sebelum memulakan sesuatu perniagaan.


02
August 2008 Saturday @ 4:24:57 am
Mengurus manusia (1)

Mengurus dan mengendalikan manusia adalah merupakan suatu seni yang khas. Tidak semua daripada kita mempunyai kebolehan semulajadi di dalam mengendalikannya dengan baik dan cemerlang. Manusia tidak boleh dikendalikan sebagaimana kita mengendalikan mesin dan peralatan. Biasanya mesin dan peralatan yang mempunyai spesifikasi yang sama akan bertindakbalas dengan cara yang sama pada semua keadaan. Situasi semupama ini tidak akan berlaku di kalangan manusia. Sesuatu aksi yang dilaksanakan terhadap seseorang tidak akan mendapatkan hasil reaksi yang sama dari individu yang berbeza. Begitu juga reaksi yang sama juga tidak akan diperolehi dari individu yang sama pada keadaan yang berbeza. Ini adalah keajaiban manusia. Manusia tetap berbeza di antara satu sama lain hatta mereka adalah merupakan kembar seiras sekali pun. Dan di dalam keadaan yang berbeza, individu yang sama akan memberikan reaksi yang berbeza.

Di dalam aspek pengendalian manusia, ilmu yang pertama yang perlu dipelajari oleh setiap individu ialah bagaimanakah caranya untuk mengenali manusia. Bagaimanakah untuk memahami seseorang dan untuk mengetahui secara proaktif apakah tindakbalas yang akan dilakukannya terhadap tindakan yang akan kita lakukan nanti. Melakukan sesuatu yang betul dan bersesuaian terhadap orang yang sesuai pada waktu yang sesuai, itulah hikmah. Perkara yang baik dilakukan dan diperkatakan pada seseorang mungkin tidak sesuai dilakukan atau diperkatakan pada orang lain atau pada orang yang sama pada waktu yang lain.

Manusia mempunyai kelebihannya tersendiri. Mereka mampu mengubahsuai keadaan diri dan emosi mereka bergantung pada keadaaan. Lantaran itu, sekiranya tidak mempunyai ilmu serta tidak mempunyai pengalaman, seseorang itu akan terdedah kepada risiko ditipu atau dianiaya dan juga terdedah kepada risiko membuat keputusan yang silap dan melakukan penganiayaan terhadap seseorang.

Di dalam blog ini, kita akan cuba mengupas langkah-langkah yang perlu kita ambil di dalam usaha untuk menjadi seorang pengurus dan pemimpin yang baik. Pengurus atau pemimpin yang baik adalah mereka yang dapat membuat keputusan yang tepat bersesuaian dengan individu serta masyarakat dan keadaan semasa. Perlu diingat bahawa tidak membuat keputusan atau lambat membuat keputusan atau membuat keputusan yang tidak signifikan adalah merupakan suatu kesalahan yang besar di dalam pengurusan. Apabila anda mempunyai ciri-ciri di atas, maka tanpa anda sedari, sebenarnya anda tidak lagi mengurus atau memimpin organisasi tersebut, tetapi organisasi tersebut sekarang sedang berada di dalam “auto pilot mode” menuju kehancuran.

Sehingga berjumpa lagi....


01
August 2008 Friday @ 4:03:52 am
Melintang Patah (3. PERSIAPAN UNTUK MENJADI USAHAWAN)

PERSIAPAN UNTUK MENJADI USAHAWAN



Apakah persiapan yang perlu saya lakukan sebelum saya menceburi bidang perniagaan? Soalan sebegini adalah yang amat jarang ditanya oleh mereka yang ingin menceburkan diri di dalam bidang perniagaan. Ramai yang akan memberikan tumpuan terhadap aspek modal kewangan semata-mata walhal persiapan yang sebenar adalah jauh lebih daripada itu. Malah modal kewangan adalah satu aspek yang kurang penting berbanding dengan aspek-aspek lain.

Adakah saya perlu memasuki universiti terlebih dahulu atau memiliki ijazah tertentu terlebih dahulu sebelum saya menceburi bidang keusahawanan? Ramai dari usahawan terkenal yang tidak menamatkan pengajian mereka seperti Thomas Edison, pengasas General Electric; Henry Ford, pengasas Ford Motor Co.; Bill Gates pengasas Microsoft; Ted Turner, pengasas CNN; Michael Dell, pengasas Dell Computers dan Steve Job, pengasas Apple Computer.

Antara persiapan yang perlu sebelum seseorang usahawan menceburi bidang perniagaan mengikut keutamaan ialah :

1) Perwatakan diri (sifat keusahawanan).


2) Pengetahuan

a) Pengetahuan tentang operasi perniagaan

b) Pengetahuan tentang pengurusan

c) Pengetahuan Agama mengenai perniagaan.

3) Modal Kewangan

3.1 PERWATAKAN DIRI

Adakah berniaga hanya sesuai bagi orang-orang tertentu sahaja?

Adakah saya layak untuk menjadi seorang usahawan?

Persoalan yang sedemikian agak sukar untuk dijawab. Ianya memerlukan penilaian kritis terhadap faktor-faktor asas yang penting yang berkaitan dengan perwatakan diri seseorang. Penilaian bukannya dapat dilakukan hanya dari satu perpektif tertentu sahaja tetapi dari pelbagai aspek yang berkaitan di antara satu sama lain.

Namun begitu untuk memudahkan pelbagai pihak di dalam menentukan kemampuan ini, maka dinyatakan di sini ciri-ciri yang perlu dijadikan pedoman bagi menentukan kemampuan atau kelayakan seseorang untuk menceburi bidang keusahawanan. Bagi seseorang yang telah menceburi bidang keusahawanan, ciri-ciri yang dinyatakan di sini hendaklah dijadikan pedoman dan usaha perlu sentiasa dilaksanakan bagi memperolehi segala sifat-sifat yang dinyatakan ini.

Antara ciri-ciri yang perlu ada pada setiap usahawan ialah seperti berikut :

1. Jujur, amanah, berdisiplin dan bertanggungjawab.

2. Berani dan tabah.

3. Rendah diri dan tidak sombong.

4. Sentiasa bersedia untuk belajar dan mendengardaripada orang lain.

5. Sangka baik terhadap orang lain dan berfikiran positif.

6. Berhati-hati.


7. Proaktif

8. Berfikir sebelum bertindak


9. Sentiasa berusaha mewujudkan suasana yang menguntungkan kepada semua pihak yang terlibat (win-win situation for all parties).


3.1.1 JUJUR, AMANAH, BERDISIPLIN DAN BERTANGGUNGJAWAB

Seseorang usahawan hendaklah mempunyai sifat jujur terhadap dirinya sendiri dan terhadap sesiapa saja yang berurusan dengannya. Beliau hendaklah melaksanakan segala perkara yang telah di perkatakan serta dijanjikan kepada orang lain. Sekiranya beliau tidak mampu untuk melaksanakannya beliau hendaklah bercakap benar walaupun ianya pahit. Sekiranya beliau cuba berdolak-dalih, ianya dengan sendiri akan menjatuhkan kredibiliti beliau sendiri. Beliau hendaklah tunaikan sesuatu yang telah beliau janjikan sama ada kepada orang lain atau dirinya sendiri. Beliau hendaklah menganggap bahawa dirinya telah menerima amanah daripada para pelabur, lembaga pengarah atau kakitangan biasa untuk mengendalikan sesuatu tanggungjawab, dan amanah ini hendaklah disempurnakan dengan sebaiknya. Sekiranya kita sendiri tidak bersifat jujur kepada diri sendiri maka dengan mudah kita akan dapat bersifat tidak jujur dengan orang lain. Urusan di dalam perniagaan dikaitkan rapat dengan urusan pengendalian amanah. Setiap transaksi yang jujur boleh di anggapkan suatu penyempurnaan amanah dan sebarang transaksi yang tidak jujur adalah seumpama pengabaian dan pemecahan amanah. Penyempurnaan amanah dengan sempurna akan membawakan pahala yang besar dan memberikan keberkatan yang amat ketara di dalam penghidupan dan sebaliknya pemecahan amanah akan menjuruskan kepada dosa dan azab di akhirat dan kutukan Tuhan dan ketidakberkatan di dalam penghidupan harian.

Seseorang usahawan hendaklah berupaya mendisiplinkan dirinya sendiri sekiranya mahukan pembantu serta kakitangan organisasi beliau bertugas dengan penuh disiplin. Beliau hendaklah menunjukkan teladan yang baik kepada kakitangan organisasi beliau. Sebagai usahawan yang inginkan kejayaaan, beliau hendaklah bertanggungjawab ke atas operasi dan aktiviti perlaksanaan di dalam organisasinya. Beliau hendaklah mempunyai akauntabiliti terhadap aktivit yang terdapat dalam organisasi beliau sendiri. Tanpa kualiti seumpama ini seseorang usahawan itu akan mudah mengalami masalah dari masa ke semasa.

Sifat melepaskan “batuk di tangga” di dalam melaksanakan sesuatu kerja adalah menggambarkan ketidakjujuran dan seterusnya tidak bertanggungjawabnya seseorang. Mendapatkan “kambing hitam” untuk dipersalahkan terhadap sesuatu kerugian atau kegagalan adalah merupakan suatu amalan yang amat buruk sekali. Sebagai usahawan kita hendaklah mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap kegagalan atau kerugian yang berlaku di dalam organisasi kita walaupun secara langsung ianya disebabkan oleh seseorang pekerja tertentu. Banyak faktur yang telah menjuruskan kepada kegagalan tersebut. Contohnya, kenapakah kita mengambil beliau bekerja sekiranya kita katakan bahawa beliau adalah pekerja yang tidak baik, begitu juga kenapakah kita tidak memberikannya latihan yang sempurna atau tidak mengingatkan beliau terlebih dahulu supaya jangan lakukan kesalahan seperti itu? Sebenarnya kitalah yang bersalah. Oleh itu jadilah seorang yang bertanggungjawab.

Terdapat dua kes yang berbeza yang ingin dipaparkan di sini:


Usahawan 1

Apabila pelanggan datang untuk menyampaikan keluhan terhadap perkhidmatan atau produk yang dibekalkan, beliau meminta pelanggan untuk tunggu sebentar dan beliau terus memanggil pekerja yang telah bertanggungjawab memberikan perkhidmatan terhadap pelanggan berkenaan. Di hadapan pelanggan yang tersebut, beliau dengan tegas bertanya kepada pekerja beliau apakah yang telah berlaku. Beliau terus memarahi pekerja tersebut di hadapan pelanggan dan memaklumkan bahawa betapa pentingnya untuk memberikan perkhidmatan yang baik kepada pelanggan-pelanggan yang datang. Seterusnya beliau telah dengan marah menyuruh pekerja tersebut menggantikan dengan produk yang lebih baik kepada pelanggan tersebut.


Usahawan 2

Apabila pelanggan datang untuk menyampaikan keluhan terhadap perkhidmatan atau produk yang dibekalkan, beliau terus meminta maaf di atas kesilapan yang berlaku dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap kesilapan tersebut. Beliau mungkin menyatakan bahawa kesilapan yang berlaku mungkin di atas kesilapan beliau yang kurang memberikan latihan dan tunjukajar kepada para pekerja beliau. Seterusnya beliau akan memanggil pekerja yang bertanggungjawab dan memaklumkan bahawa “kita” telah melakukan kesilapan kerana memberikan produk atau perkhidmatan yang kurang berkualiti sebegini kepada pelanggan ini. Kemudian beliau meminta pekerja berkenaan untuk menggantikan produk dengan yang sebenarnya.

Di dalam dua insiden yang di atas hasil yang diperolehi adalah berbeza:

Keperluan pelanggan

    1. Keluhan di dengar dan dilayan dengan baik

    2. Kelemahan atau kekurangan digantikan dengan produk atau perkhidmatan yang sebenarnya atau yang lebih baik

    3. Dirinya dihormati


Keperluan pekerja
  1. Diberikan tunjuk ajar

  2. Mendapat pembelaan

  3. Keluhan didengari

  4. Tidak dihina

Keperluan usahawan

  1. Pelanggan berkekalan

  2. Pekerja menjadi bertanggungjawab

  3. Pekerja berkekalan di dalam keadaan yang baik


Di dalam kes yang pertama

Pelanggan terpaksa menunggu sehingga usahawan berkenaan selesai memarahi pekerjanya barulah beliau mendapat ganti terhadap produk yang beliau perlukan itu. Menghadiri sessi untuk melihat orang lain dimarahi ialah suatu pengalaman yang pahit. Biasanya pelanggan ini akan keberatan untuk datang pada kali berikutnya.

Pekerja yang dimarahi didepan pelanggan akan menyimpan rasa marah dan dendam yang membara di dalam hatinya. Ini ialah kerana ketika di hadapan pelanggan tersebut, beliau tidak diberikan peluang untuk membela diri terhadap apa yang berlaku. Beliau akan rasa terhina dan ini seterusnya akan menghambat segala proses pembelajaran dan pembaikan diri yang perlu dibentuk di dalam pekerja berkenaan. Ini adalah merupakan salah satu faktor yang penting di dalam menyumbangkan kadar pemberhentian kerja yang tinggi di kalangan pekerja-pekerja di dalam sesetengah organisasi.

Semua perkara yang dinyatakan ini dengan jelasnya akan membawakan keburukan dan kemudaratan kepada usahawan berkenaan.


Di dalam kes kedua

Kemarahan pelanggan akan hilang serta merta apabila usahawan berkenaan meminta maaf di atas segala kesilapan yang telah berlaku. Justeru itu segala langkah usahawan berkenaan untuk menggantikan dengan produk yang baru tersebut akan diterima dan dihargai oleh pelanggan berkenaan.

Pekerja beliau yang terlibat di sini akan merasa “terhutang budi” kepada usahawan berkenaan kerana tidak memalukan beliau di hadapan pelanggan. Beliau akan lebih komited dan bersungguh-sungguh untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik pada masa yang akan datang.

Suatu corak yang kurang sihat sedang berleluasa di sebahagian organisasi sama ada di peringkat kerajaan atau organisasi swasta. Para pekerja dihantar untuk menjalani latihan serta sessi motivasi untuk mewujudkan sifat, tingkahlaku dan akhlak yang baik di dalam pekerjaan dan urusan harian mereka. Mereka diberikan pendedahan yang intensif terhadap kepentingan berakhlak baik, bertanggungjawab dan seterusnya menyempurnakan segala amanah yang telah diberikan dengan baik. Apabila mereka selesai dan pulang ke tempat mereka segala cita-cita dan semangat mereka akan terpadam dengan serta merta apabila mereka didedahkan dengan ketidak jujuran, kekurangan sifat amanah dan kekurangan disiplin yang masih kekal dimiliki oleh pengurus dan pemimpin organisasi mereka. Justeru itu kesan daripada kursus dan sessi motivasi yang diberikan tidak memberi manfaat sebagaimana yang dikehendaki malah boleh menjuruskan kepada suatu kesan yang amat negatif.

Terdapat beberapa ketika apabila saya dipanggil untuk memberikan sessi ceramah dan latihan keusahawanan, saya akan memastikan sama ada sessi ini diberikan kepada pihak pengurusan teratas terlebih dahulu atau ianya diberikan serentak kepada semua ahli organisasi sebelum saya memberikan persetujuan untuk mengendalikannya.

Cara yang paling baik untuk mewujudkan sifat dan akhlak yang baik didalam organisasi kita ialah dengan menjadikan diri kita yang terbaik. Walaupun begitu perlu kita ingati bawa sifat yang baik yang kita miliki tidak akan dapat di miliki sepenuhnya oleh mereka yang lain tetapi sifat buruk yang kita miliki akan dimiliki oleh mereka dengan lebih mendalam dan melampau dari masa ke semasa. Oleh itu kita hendaklah sentiasa berusaha untuk menjadi orang yang baik.

Anda hanya akan berupaya membuat orang lain menjadi baik dengan menjadikan diri anda sendiri seorang yang baik” ..... Hugh R. Haweis.

Sekiranya mereka yang terdapat di dalam sesuatu kumpulan mempunyai semangat yang tinggi tetapi pengurusnya adalah lemah, punca kegagalan ialah ketiadaan pedoman ”…Sun Tzu

Sekiranya guru kencing berdiri, anak muridnya akan kencing berlari”…pepatah Melayu


Contoh 3.1A :

En. Alias membuka kedai bagi membekal peralatan alatulis dan buku-buku secara borong ke pejabat-pejabat kerajaan dan swasta. Adalah menjadi kebiasaan bagi sesetengah kakitangan pejabat-pejabat berkenaan untuk meminta komisyen secara peribadi sebanyak 5% atau 10% daripada En. Alias sebagai imbuhan bagi mendapatkan kontrak pembekalan tersebut dan untuk memudahkan pembayaran nanti. Sekiranya En. Alias tidak bersetuju dengan syarat tersebut, kontrak tersebut akan diserahkan kepada pembekal-pembekal lain. En. Alias bersetuju dengan syarat-syarat tersebut walaupun beliau mengetahui tentang ketidakjujuran kakitangan-kakitangan tersebut. Amalan seperti ini telah diketahui oleh semua kakitangan syarikat En. Alias sendiri dan tanpa disedari oleh En. Alias, kakitangan-kakitangan beliau juga telah memulakan amalan meminta komisyen daripada pembekal-pembekal En. Alias sendiri. Amalan tersebut mula menular dan tidak lama selepas itu kakitangan-kakitangan beliau sendiri sudah pandai memalsukan dokumen dengan merekodkan penerimaan barang-barang yang sebenarnya tidak diterima dan mereka mendapat habuan tertentu daripada pihak pembekal.


Pengajaran :

1. Adalah tidak harus untuk bertolak ansur walaupun sedikit dengan sebarang amalan yang tidak jujur dan salah.

2. Sesuatu amalan yang tidak baik akan membawa kepada amalan tidak baik lain yang lebih serius.

Di dalam agama, perniagaan dan perdagangan adalah pekerjaan yang dipandang mulia. Ahli perniagaan adalah pemilik dan penguasa masanya sendiri. Mereka juga boleh berkhidmat untuk agamanya di dalam berbagai-bagai bentuk sama ada dengan mengajar, belajar atau menyampaikan seruan agama dan sebagainya. Selain dari itu terdapat beberapa hadis yang menjelaskan mengenai kelebihan-kelebihan perniagaan.

Sabda Rasulullah s.a.w :

Peniaga yang jujur dan amanah akan bersama-sama dengan para nabi, siddiqin dan syuhada.” (1)

Sabda Rasulullah s.a.w. lagi:

Sesungguhnya sebaik-baik pekerjaan untuk memperolehi pendapatan adalah pendapatan para peniaga di mana apabila bercakap mereka akan bercakap benar dan tidak berdusta. Apabila mereka diberi amanah, mereka tidak akan menkhianatinya, apabila berjanji mereka tidak memungkirinya, apabila mereka membeli, mereka tidak mencela apa yang dibeli oleh mereka itu. Apabila mereka menjual, mereka tidak akan memuji-muji berlebih-lebihan barang-barang yang mereka jual tersebut. Jika mereka disuruh untuk membayar (hutang) mereka tidak akan berdalih-dalih dan apabila orang yang berhutang lambat membayarnya, mereka tidak akan menyempitkan si penghutang.” (1)

Daripada Anas r.a. sesungguhnya Rasulullah sallallahualaihiwasallam telah bersabda :

Peniaga yang jujur akan berada di bawah naungan arash Allah pada hari kiamat” (1)

Daripada Abu Umamah r.a. sesungguhnya Rasulullah sallallahualaihiwasallam telah bersabda :

Sesungguhnya peniaga itu mempunyai empat sifat, maka akan baiklah pendapatannya iaitu: Apabila membeli dia tidak akan mencerca barang beliannya. Apabila menjual dia tidak akan memuji-muji barang jualannya itu. Apabila berlaku penjualan, dia tidak akan menipu dan beliau tidak akan bersumpah-sumpah apabila melakukan pembelian dan penjualan.” (1)

Daripada Hakim bin Hizaam r.a. sesungguhnya Rasulullah sallallahualaihiwasallam telah diriwayatkan bersabda :

Penjualan dengan pilihan, di mana pembeli dan penjual mempunyai hak untuk membatalkan penjualan tersebut selagi mana mereka tidak berpisah (setelah mengadakan akad). Jika kedua mereka bercakap benar dan melakukan penjelasan ( mengenai barang jualan tersebut dari segi kebaikan dan keburukannya dan harga jualan), jual beli mereka akan diberkati. Jika mereka berdusta, dengan melindungi keburukan atau kecacatan barang jualan tersebut mereka tentunya akan memperolehi keuntungan tetapi mereka memusnahkan keberkatan penjualan tersebut.” (1).

Sekiranya sifat-sifat yang dinyatakan di atas dimiliki oleh para usahawan, maka ianya akan membuka jalan seterusnya bagi seseorang itu berjaya di dalam sebarang bidang yang diceburinya.

Mengikut W. Steven Brown, Presiden Fortune Group terdapat lima syarat asas bagi kejayaan di dalam perniagaan:

1. Produk yang berkualiti atau berbeza (unique)

2. Masa yang tepat

3. Modal yang mencukupi

4. Sumber manusia yang mencukupi

5. Pengurusan yang efektif

Tetapi beliau seterusnya menyatakan sekiranya anda tidak memiliki faktor yang ke lima di atas maka anda tidak akan memperolehi ke empat-empat faktor yang terdahulu darinya. Ini ialah kerana tanpa pengurusan yang efektif, keputusan yang tepat tidak akan dapat dibuat mengenai bentuk produk serta waktu ianya sepatutnya dikeluarkan ke pasaran. Syarikat yang tidak mempunyai pengurusan yang baik tidak akan berupaya untuk memperolehi atau mengekalkan modal yang mencukupi. Hanya pengurusan yang baik dapat menarik mereka yang berbakat serta berpotensi untuk memajukan syarikat berkenaan.(5, halaman 17)

Sekiranya setiap usahawan mempunyai sikap yang bertanggungjawab serta ‘accountable’ terhadap segala aktiviti di dalam organisasinya, maka akan dapat dilihat wujudnya golongan pekerja yang menjalankan tugas dengan bersungguh-sungguh dan dengan penuh komitmen.

Ujian sebenar kepada pengurus dan usahawan adalah bukannya apa yang beliau boleh buat tetapi apakah pekerja-pekerjanya lakukan tanpa kehadirannya.(5, halaman 30)

Hasrat sebegini hanya akan dapat dicapai sekiranya para pekerja yang wujud mempunyai komitmen yang tidak berbelah bagi terhadap tugas dan kerja yang telah dipertanggungjawabkan.

3.1.2 BERANI DAN TABAH

Setiap usahawan hendaklah mempunyai sifat yang berani dan tabah sepanjang masa. Ini ialah kerana hanya mereka yang berani menghadapi risiko sahaja yang berupaya untuk menjalankan perniagaan sendiri. Walaubagaimanapun risiko yang bakal dihadapi hendaklah merupakan risiko yang telah diperhitung (calculated risk) dan bukannya secara membuta tuli. Sifat berani ini hendaklah wujud pada sepanjang masa dan keadaan. Ianya hendaklah disalurkan dengan berpandukan kepada kehendak agama dan selaras dengan undang-undang negara. Bagi mereka yang tidak mempunyai sifat berani seumpama ini, mereka akan mudah dipermain-mainkan hanya dengan khabar angin dan spekulasi sahaja. Mereka akan mudah diugut atau disogok oleh mana-mana pihak. Ugutan dari mana-mana pihak sudah cukup untuk membuat beliau menjadi panik dan seterusnya membuat sesuatu keputusan yang silap.

Mungkin terdapat usahawan yang mempunyai rekod masa lampau yang gelap. Walaupun begitu beliau hendaklah tabah dan berani dan hendaklah bertindak dengan jujur dan waras di dalam membuat sesuatu perancangan.

Di bawah ini dinyatakan beberapa ‘kegagalan’ yang mungkin boleh dijadikan teladan:

- Pada tahun pertama operasi, syarikat Coca-Cola hanya berjaya menjual empat ratus botol minuman Coke.

-Hewlett-Packard dan Atari menolak peluang untuk membeli komputer mikro Apple yang pertama. Jualan tahun pertama Apple berjumlah $2.5 juta.

-Henry Ford menjadi bankrap pada tahun pertama beliau berada dalam industri kereta, dan dua tahun kemudian syarikat beliau yang kedua menemui kegagalan. Syarikat beliau yang ketiga mendapat sedikit kejayaan.

-Dua puloh tiga penerbit telah menolak sebuah buku kanak-kanak yang ditulis oleh seorang pengarang yang memanggil dirinya Dr. Seuss. Penerbit yang ke dua puloh empat telah menerbitkannya, dan sebanyak enam juta naskhah buku itu telah pun dijual.

-Pada tahun 1903, King Gillette telah mencipta pisau cukur dan menjual sejumlah besar 51 batang pisau cukur dan 168 mata pisau cukur bagi tahun tersebut.(7)

-Ketika berumur 66 tahun, Colonel Sanders telah kehilangan perniagaannya dan mula hidup dengan bantuan cek Keselamatan Sosialnya. Beliau kemudiannya pergi ke seluruh negara untuk menjual resepi ayam gorengnya. Beliau telah ditolak sebanyak 1,009 kali sebelum seseorang berkata “ya”. Seterusnya dalam masa yang singkat beliau telah memperkenalkan suatu industri makanan yang begitu berkembang sekali iaitu Kentucky Fried Chicken dan telah menjadi seorang jutawan pada umur tersebut .


Untuk elakkan sebarang kritik - jangan buat sesuatu, jangan cakap sesuatu, dan jangan jadi sesuatu “

………. Elbert Hubbard (1856-1915)


3.1.3 RENDAH DIRI DAN TIDAK SOMBONG

Sifat rendah diri dan tidak sombong adalah penting dan perlu ada kepada semua usahawan. Dengan merasakan diri kita masih terlalu baru di dalam perniagaan danmasih belum sempurna, maka kita akan berupaya untuk menghormati orang lain. Perlu diingatkan bahawa antara faktor utama di dalam memajukan sesuatu perniagaan ialah kemampuan seseorang usahawan untuk mewujudkan jalinan perhubungan (networking) dengan orang lain. Ini termasuklah hubungan dengan rakan usahawan, pelanggan, pembekal dan lain-lain. Tidak dinafikan bahawa penampilan diri adalah penting tetapi perlulah difahami bahawa penampilan diri yang sebenar adalah apa yang terpamer hasil dari perasaan di dalam hati dan bukanlah semata-mata bergantung kepada pakaian, kenderaan dan sebagainya. Tidak kurang juga usahawan yang bertindak dengan menggunakan wang modal atau pinjaman perniagaan untuk membeli kenderaan-kenderaan yang mahal dengan alasan untuk mewujudkan imej dan kepercayaan daripada pelanggan. Pendapat ini sebenarnya tidak begitu tepat. Keyakinan berpanjangan daripada pelanggan atau pembekal lebih kepada sifat serta tingkahlaku seseorang dan bukannya kepada jenis pakaian, kenderaan dan sebagainya.


Rasulullah sallallahualaihiwasallam bersabda maksudnya :

Semoga Allah memelihara keselamatan orang mukmin yang merupakan seorang ahli perniagaan yang gigih di mana beliau tidak menghiraukan apakah jenis pakaian yang dipakainya.” (1)


Saidina Abu Bakar r.a. pernah berkata :

Sesungguhnya tiada seorangpun yang sesuai untuk memegang jawatan khalifah melainkan seorang yang kuat tetapi tidak bersifat bongkak, lembut tanpa bersifat lemah, pemurah tanpa bersifat membazir dan berjimat cermat tanpa bersifat kedekut (bakhil)”.(2)

Di dalam memperkatakan tentang kepentingan mewujudkan jalinan persahabatan di dalam perniagaan ianya adalah merupakan sesuatu perintah dan amalan yang amat digalakkan di dalam Islam. Terlalu banyak ayat-ayat alQuran dan hadis yang memberikan keuatamaan di dalam mewujudkan suasana harmoni, kasih sayang dan hormat menghormati di antara satu sama lain terutamanya di dalam urusan penghidupan harian. Justeru itu lima cabang utama di dalam Islam iaitu:

      1. Iman
      2. Ibadat
      3. Akhlak
      4. Muamalat (Urusan penghidupan harian mengenai harta dan perniagaan sesama manuasia)
      5. Muasyarat (adab kemasyarakatan)

hendaklah di amal sepenuhnya bagi menjamin kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Ilmu mengenai adab kemasyarakatan amat kurang diajar sama ada di sekolah-sekolah, universiti atau di masjid-masjid. Sebahagiannya hanya dimasukkan sedikit di dalam silibus akhlak dan perkara yang berkaitan dengannya secara tidak langsung. Justeru itu usaha untuk mewujudkan masyarakat Islam yang berakhlak dan mempunyai tingkah laku yang murni telah menempuhi jalan yang amat sukar. Saban hari kita akan dapat mendengar keluhan mengenai tingkah laku dan akhlak generasi muda masa kini yang amat mudah dipengaruhi oleh budaya asing. Sekiranya pendedahan terhadap adab-adab kemasyarakatan diberikan dari peringkat awal lagi dan secara berterusan maka pemuda-pemuda Melayu khasnya Islam dapat dipupuk untuk memiliki sifat jati diri yang cemerlang dan dengan ini pengaruh negatif dari budaya lain amat sukar menyerap ke dalam masayarakat ini. Kepentingan untuk mempelajari dan mengamalkan dengan adab-adab kemasyarakatan ini amat ketara sekali apabila alQuran dan hadis-hadis mengenai perkara ini di dapati dengan begitu banyak sekali.

Seseorang yang telah memiliki dan beramal dengan adab-adab kemasyarakatan ini akan secara mudah berinteraksi dengan semua pihak. Beliau dengan secara langsung telah memiki suatu sifat asas yang amat penting bagi seseorang untuk menjadi seorang usahawan.

Apabila pendidikan seumpama ini tidak diberi dan dan diperkenalkan di dalam masyarakat, maka aktiviti mulia seperti menjalinkan hubungan yang baik di antara satu sama lain boleh disalahertikan. Seorang rakan


3.1.4 SENTIASA BERSEDIA UNTUK BELAJAR DAN MENDENGAR DARIPADA ORANG LAIN

Perlu diingatkan bahawa tiada manusia yang mempunyai pengetahuan yang lengkap dan sempurna. Seseorang yang mahir di dalam sesuatu bidang adalah merupakan orang yang jahil di dalam suatu bidang yang lain. Jika seseorang doktor pakar itu mahir di dalam membuat pembedahan terhadap otak manusia (neurosurgeon) beliau mungkin jahil di dalam bidang pengurusan, perakauanan dan lain-lain. Justeru itu setiap usahawan hendaklah bersedia untuk belajar daripada mereka yang mahir di dalam bidang masing-masing. Cerdikpandai di dalam agama pernah memberitahu bahawa bermulanya pembelajaran ilmu itu adalah apabila kita merasakan bahawa kita tidak tahu dan berakhirnya proses pembelajaran ilmu itu adalah apabila kita merasakan kita telah tahu. Oleh itu setiap daripada kita hendaklah sentiasa menganggap bahawa kita tidak tahu dan hendaklah sentiasa belajar daripada mereka yang mahir walaupun daripada pesaing kita sendiri. Walaubagaimanpun cara kita mendapatkan pengetahuan itu perlulah dilakukan secara profesional. Pembelajaran yang berkesan ialah belajar melalui kesilapan-kesilapan sendiri tetapi cara pembelajaran ini melibatkan kos perbelanjaan dan masa. Sebaliknya cara yang lebih baik ialah dengan mempelajari daripada kesilapan orang lain. Untuk tujuan itu kewujudan jalinan perhubungan (networking) dengan orang lain boleh digunakan untuk menimba ilmu pengetahuan.

Di antara perkara yang menjadi penghalang kepada proses pembelajaran ialah ketidakupayaan seseorang untuk menjadi pendengar yang baik (good listeners). Pendengar yang tidak baik adalah amat mudah dikesan.

Mereka biasanya

    • mengganggu percakapan orang lain

    • salah tafsir terhadap apa yang dikatakan

    • nampak jemu (bored) dan tidak berminat

    • bercakap banyak di atas tajuk yang kurang penting

    • mendengar apa yang mereka jangkakan (expect) untuk mendengar dan bukannya apa yang diperkatakan.

    • nampak tidak sabar dan mudah mengalihkan pandangan dan perhatian.

    • membuat perkara lain dan mengatakan bahawa dia sedang mendengar apa yang diperkatakan.

    • berfikir apakah yang hendak diperkatakan seterusnya dan bukannya mendengar apa yang diperkatakan.

    • tidak dapat mengulangi atau memperkatakan kembali apa yang telah dibincangkan.

Pemimpin yang baik ialah yang mendengar dengan baik. Kita telah diberikan dua telinga dan satu mulut, supaya kita mendengar dua kali lebih daripada bercakap. Apabila kita mendengar, manfaatnya adalah dua kali ganda iaitu kita akan mendapatkan informasi tertentu, dan kita juga membuatkan orang lain merasakan ianya penting.

Mewujudkan sistem “komunikasi yang berkualiti” adalah sebenarnya yang menjadi perkara pokok dan diberikan keutamaan di dalam mewujudkan keharmonian dan kesepaduan di antara ahli-ahli sesebuah organisasi. Berkualiti bermaksud wujudnya “kejujuran” di setiap peringkat komunikasi. Ianya akan mewujudkan kepercayaan di kedua-dua belah pihak dan akan mengakibatkan pertukaran maklumat secara tepat dan jujur. Pada sesetengah keadaan pemimpin akan mengubahsuai sesuatu maklumat dengan tujuan untuk membolehkan idea-idea tertentu yang dimilikinya akan diterima dan diketengahkan. Apa yang terhasil daripada langkah seumpama ini ialah wujudnya perasaan prasangka dan suasana ketidakjujuran di dalam organisasi tersebut. Di dalam sebarang sistem komunikasi ianya boleh dipecahkan kepada 4 komponen utama iaitu “penghantar”, “maklumat”, “penerima” dan “maklumbalas”. Perkara yang paling penting ialah perkara yang terakhir iaitu “maklumbalas”. Sekiranya terdapat gangguan di mana-mana peringkat di atas besar kemungkinan maklumbalas yang diperolehi adalah berlainan dengan dengan apa yang dihajatkan. Antara halangan-halangan kepada komunikasi yang berkualiti ialah:

  1. Perkataan(words)
  2. Isi kandungan (context)

  3. Penapisan (filtering)

  4. Kesimpulan yang silap (Wrong assumptions)

Perkataan yang sama mungkin memberikan makna yang berlainan kepada pendengar yang berbeza. Justeru itu perkataan yang digunakan hendaklah dipilih dengan baik berdasarkan latarbelakang pendengar itu sendiri bukannya latarbelakang kita sendiri. Di samping itu kita hendaklah memastikan bahawa pendengar itu telah memahami dengan jelas apakah maksud sebenar dari yang kita sampaikan itu.

Isi kandungan percakapan boleh menambahkan kefahaman pendengar terhadap sesuatu yang diperkatakan dan di samping itu juga boleh menimbulkan kesalahfahaman. Justeru itu adalah wajar untuk berfikir terlebih dahulu sebelum memperkatakan sesuatu. Elakkan daripada menghurai atau menerangkan sesuatu ketika berada di dalam keadaan marah. Ini ialah kerana pada ketika itu, perkataan dan isi kandungan yang diperkatakan akan lebih mengikut perasaan serta emosi dan bukannya melalui akal fikiran.

Perkara ketiga yang menghalang kepada komunikasi yang berkesan ialah wujudnya “penapisan”. Setiap berita yang diterima akan ditapis terlebih dahulu untuk memberikan hasil yang dikehendaki. Justeru itu maklumat yang diperolehi tidak lagi menggambarkan hakikat sebenar apa yang berlaku. Suasana sebegini wujud berdasarkan budaya yang telah diperkenalkan di dlam sesebuah organisasi. Sekiranya pemimpin di dalam organisasi tersebut akan memberikan insentif kepada pembawa berita baik dan sebaliknya memarahi sesiapa yang membawa berita buruk, maka tanpa disedari suatu budaya yang bergitu merbahaya telah diperkenalkan di dalam organisasi berkenaan. Dengan cara ini setiap anggota organisasi berkenaan akan menapis terlebih dahulu sebarang berita yang diterima dan hanya akan memberitahu perkara-perkara yang baik sahaja kepada pemimpin mereka. Justeru itu pemimpin berkenaan tidak akan memperolehi maklumat yang tepat dan perkara sebegini akan lambat laun menjejaskan operasi dan perjalan organisasi berkenaan.

Membuat kesimpulan terlebih dahulu sebelum mendengar sesuatu berita adalah merupakan suatu tingkah laku yang merugikan. Setiap pemimpin hendaklah cuba mengelak daripada membuat kesimpulan menyeluruh dengan cepat. Kajian dan penyelidikan yang terperinci hendaklah dilaksanakan terlebih dahulu sebelum membuat sesuatu kesimpulan. Di samping itu juga kesimpulan yang dibuat sebaiknya bukanlah kesimpulan secara menyeluruh tetapi berdasarkan komponen permasalahan itu masing-masing.

Kunci kepada komunikasi yang baik ialah menjadi “pendengar yang aktif”. Cara-cara untuk menjadi pendengar yang “aktif”:


  1. Berikan perhatian yang jujur dan ikhlas

  2. Pastikan dengan tepat kandungan maklumat yang diterima (clarify messages)

  3. Semak kembali kefahaman terhadap maklumat tersebut dengan pemberi maklumat

  4. Zahirkan sebarang kesimpulan tersembunyi yang wujud (supaya kesimpulan yang silap dapat diperbetulkan)

  5. Dengar dan asingkan terhadap kandungan intelektual dan kandungan beremosi

  6. Elakkan daripada mengkritik, memberikan evaluasi dan memberikan hukuman

  7. Galakkan setiap orang untuk mengambil tanggungjawab dan seterusnya menyelesaikan maslah mereka sendiri


Di dalam usaha untuk memajukan diri sendiri di dalam sesuatu bidang kita perlu memiliki 4 sifat utama. Tanpa memiliki sifat-sifat ini menjadi sukar kepada sesiapa untuk terus maju. Sifat-sifat itu ialah:


  1. Berkeinginan (Azam yang kuat)
  2. Bersungguh-sungguh
  3. Taat dan patuh
  4. Sangka baik terhadap orang lain


Hanya bagi mereka yang mempunyai azam yang kuat untuk mencapai sesuatu hajat akan menjalankan usaha dengan bersungguh-sungguh. Tanpa keazaman yang kuat serta kesungguhan melaksanakan sesuatu tugas akan mewujudkan suasana bekerja sambil lewa atau seumpama melepaskan batuk di tangga. Fenomena seumpama ini adalah amat tidak sesuai dimiliki oleh para usahawan. Ini ialah kerana para usahawan adalah merupakan suatu golongan yang sentiasa terdedah kepada risiko-risiko tertentu di dalam perniagaan yang di ceburi. Sekiranya usaha perniagaan dibuat dengan sambil lewa, maka adalah mustahil bagi perniagaan tersebut untuk berkembang dengan baik malah ianya boleh menjadi punca kemunduran serta kejatuhan usahawan berkenaan.

Keinginan yang kuat hanya akan berhasil sekiranya ditunjukkan dengan amalan dan perbuatan yang bersungguh-sungguh. Sekiranya ia tidak dilakukan sedemikian, ianya hanyalah merupakan suatu angan-angan dan bukannya keazaman.

Ketaatan adalah diperlukan bagi seseorang untuk maju di dalam setiap bidang yang diceburi. Bagi seseorang usahawan ketaatan dibahagikan kepada dua bahagian iaitu:


1. Faktor Luaran

2. Faktor Dalaman


Faktor luaran bermakna pentingnya seseorang usahawan itu untuk patuh dan taat kepada sistem perundangan negara serta syariat agama. Tanpa ketaatan kepada sistem perundangan yang wujud akan meletakkan usahawan berkenaan di dalam keadaan yang tidak stabil sepanjang masa. Fikiran dan tenaga beliau lebih ditumpukan kepada usaha untuk menyelamatkan diri dari dikesan atau ditangkap dan bukannya terhadap usaha untuk meningkatkan kualiti perniagaan dan memperkembangkannya. Ketidaktaatan kepada perintah agama akan menjauhkan seseorang daripada ketenangan dalam hidup dan keberkatan terhadap segala aktiviti penghidupannya. Kesannya akan mula dirasai di dunia ini dan kesan yang serius adalah di alam akhirat nanti.

Faktor dalaman ialah ketaatan terhadap sistem pengurusan yang telah dicipta bagi sesuatu organisasi tersebut. Pemimpin hendaklah mempunyai penghormatan dan ketaatan yang lebih kepada sistem yang wujud di dalam sesuatu organisasi melebihi ketaatan yang dimiliki oleh ahli biasa. Sebagai contoh, sekiranya sistem telah diwujudkan supaya setiap pekerja tidak dibenarkan bergelak ketawa di kaunter perniagaan syarikat, maka adalah sesuatu kesalahan sekiranya pengurus atau usahawan itu sendiri yang melakukan perkara sedemikian. Apabila pihak pengurus atau usahawan itu tidak menunjukkan penghormatan terhadap sistem yang telah dibina, maka akan menjadi amat sukar bagi para pekerja mematuhi kepada sistem sedemikian. Tanpa kepatuhan terhadap sistem seumpama ini akan meletakkan perniagaan tersebut di dalam kemerosotan sepanjang masa.

Adalah penting bagi setiap individu untuk mempunyai sifat sangka baik terhadap orang lain sepanjang masa. Apabila bermulanya sangka yang tidak baik, ianya akan menjerumuskan kepada aktiviti-aktiviti lain seperti mengumpat, memfitnah, gossip, surat layang dan sebagainya yang sendirinya akan melambatkan sebarang proses perkembangan dan kemajuan sesuatu organisasi. Di dalam sebahagian organisasi bumiputera faktor ini telah menjadi punca utama di dalam memulakan sesuatu kehancuran. Ini dikaitkan dengan sifat semulajadi masyarakat Melayu iaitu malu untuk berterus terang (nanti orang lain kecil hati). Justeru itu timbul lah prasangka terhadap sesuatu perkara itu. Perkara ini diterangkan dengan lebih terperinci di dalam bahagian 6 dan 11 buku ini.



3.1.5 SANGKA BAIK DAN BERFIKIRAN POSITIF


Setiap usahawan hendaklah sentiasa melihat kebaikan orang lain dan hendaklah mengelakkan sekali-kali daripada bersifat prasangka terhadap seseorang. Elakkan diri kita daripada memberikan tafsir yang negatif terhadap seseorang hanya dengan kita melihat penampilan mereka. Sememangnya benar cara penampilan itu adalah penting tetapi perlulah diingat bahawa terdapat setengah-setengah orang yang suka untuk menguji bakal pembekal atau pelanggan mereka. Mereka ingin melihat bagaimanakah reaksi pelanggan mereka dengan penampilan mereka sebegitu. Penafsiran yang terburu-buru boleh menyebabkan kita kehilangan peluang yang baik. Cara yang paling baik ialah dengan menganalisis mereka itu dengan cara-cara tertentu. Kebaikan atau kelemahan seseorang akan terbukti setelah menjalani ujian. Seseorang usahawan itu hendaklah melatih dirinya dan pembantu-pembantunya supaya sentiasa berfikiran positif di dalam segara urusan. Walaubagaimanapun beliau hendaklah sentiasa berhati-hati.


 


01
August 2008 Friday @ 3:55:34 am
Melintang Patah (2. SIAPAKAH USAHAWAN YANG BERJAYA?)



SIAPAKAH USAHAWAN YANG BERJAYA?



Siapakah usahawan yang berjaya? Adakah ianya seseorang yang mempunyai harta dan kekayaan yang melimpah? Adakah ianya seseorang yang dikenali ramai sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa? Adakah ianya seorang yang telah berjaya menjadi pemimpin di dalam sesuatu badan politik samada di peringkat negeri atau negara? Adakah ianya seorang yang berpengaruh sehingga apa yang diperkatakan oleh beliau akan di ikuti oleh semua orang?


Pada tahun 1923 suatu mesyuarat telah diadakan di antara mereka yang terkaya di dunia di Edgewater Beach Hotel Chicago, Amerika Syarikat. Kelapan-lapan jutawan ini mengawal kedudukan kewangan serta harta melebihi dari kawalan oleh negara Amerika Syarikat pada ketika itu. Mereka ialah terdiri daripada :


  1. Presiden sebuah syarikat gas yang terbesar.

  2. Peniaga gandum terbesar

  3. Presiden, New York Stock Exchange

  4. President sebuah syarikat logam (steel) terbesar

  5. Ahli kabinet Presiden

  6. Seorang terkenal di Wall Street

  7. Seorang yang mengetuai suatu perniagaan terkenal di dunia.

  8. Presiden, Bank of International Settlement


Mari kita lihat di manakah mereka 25 tahun selepas itu!


  1. Mr. H.H. iaitu Presiden sebuah syarikat gas terbesar menjadi gila.

  2. Mr. A. C iaitu peniaga gandum terbesar meninggal dunia di negara luar dalam keadaan tidak berharta

  3. Mr. R. W. iaitu Presiden New York Stock Exchange telah di hantar ke Sing Sing Penitentary( penjara)

  4. Mr. C. S. iaitu Presiden sebuah syarikat logam terbesar hidup dengan berhutang dan mati di dalam keadaan muflis.

  5. Mr. A.F. iaitu ahli kabinet Presiden Amerika Syarikat di ampunkan dari penjara supaya dapat mati di rumah

  6. Mr. J. L. iaitu seorang yang terkenal di Wall Street mati membunuh diri

  7. Mr. I. K. iaitu seorang yang mengetuai suatu perniagaan yang terkenal di dunia mati membunuh diri

  8. Mr. L.F. iaitu Presiden, Bank of International Settlement mati membunuh diri. (1)

Pengajaran yang perlu diambil di sini ialah faktor wang ringgit, pengaruh serta kemewahan hidup tidak sepatutnya menjadi ukuran di dalam menentukan kejayaan seseorang. Ianya adalah merupakan suatu faktor sampingan dan hanya akan memberikan manfaat sekiranya faktor-faktor lain yang lebih penting berada di dalam keadaan yang sempurna.

Siapakah usahawan yang berjaya? Didalam definisi yang dinyatakan di sini, usahawan yang berjaya hendaklah terlebih dahulu memilki perniagaan yang berjaya. Justeru itu wujud sesetengah pihak yang memiliki perniagaan yang berjaya tetapi beliau sendiri adalah bukannya usahawan yang berjaya. Ini adalah kerana perniagaan beliau telah dimajukan berdasarkan faktur-faktur luaran dan bukannya dibina oleh beliau secara langsung. Perniagaan berjalan lancar tetapi penghidupan beliau berada di dalam kelam kabut dan tidak teratur. Justeru itu janganlah mudah bagi mana-mana pihak untuk mengikuti contoh seseorang usahawan hanya berdasarkan kepada kejayaan perniagaan beliau. Begitu juga janganlah mudah seseorang tertipu dengan berdasarkan penampilan seseorang. Adalah biasa untuk kita mendengar perbualan seperti ini: “Ahmad tu sekarang dah jadi usahawan berjaya. Dulu naik kapcai saja, sekarang dah pakai kereta besar!”. Perkataan sebegini adalah amat bahaya sekiranya menjadi pedoman bagi masyarakat masa kini serta generasi yang akan datang.


Usahawan yang berjaya ialah seseorang yang mempunyai perniagaan atau projek/usaha yang telah maju dan memberikan pulangan yang baik kepada para pelabur (pemilik) dan mempunyai ciri-ciri berikut :


(i) Sistem pengurusan yang cekap menyebabkan usahawan berkenaan tidak lagi perlu melibatkan diri secara langsung di dalam kegiatan operasi perniagaan tersebut. Sistem operasi perniagaan yang wujud adalah begitu sempurna sehingga ianya dapat berjalan dengan sendiri (autonomous) walaupun dengan ketiadaan usahawan berkenaan. Beliau boleh memberikan masa dan tumpuan beliau terhadap aspek penyelidikan, pembangunan, kawalan kualiti dan mengenalpasti peluang-peluang baru di dalam perniagaan. Sistem yang telah wujud membolehkan setiap orang di dalam organisasi tersebut berperanan dengan sebaiknya.


(ii) Usahawan berkenaan mempunyai pasukan pembantu dan petugas yang betul-betul amanah, bertanggungjawab dan jujur. Usahawan berkenaan juga berupaya dan bersedia untuk melepaskan tangungjawab-tanggungjawab penting yang tertentu (delegation) kepada pembantu-pembantu beliau tanpa sebarang syak wasangka dan dapat meninggalkan perniagaan tersebut untuk bercuti atau menyelesaikan apa-apa urusan lain tanpa sebarang kerungsingan atau kerisauan.


(iii) Usahawan berkenaan mampu mewujudkan sistem yang berupaya mengesan dengan serta merta sebarang kesalahan dan kesilapan yang dilakukan oleh pembantu-pembantu beliau sama ada dengan sengaja atau tidak sengaja. Perlaksanaan sistem penyeliaan ini sendiri tidak diketahui secara langsung oleh para pembantu beliau.


(iv) Segala maklumat mengenai operasi terutamanya mengenai urusan kewangan, perakaunan dan maklumat mengenai pekerja, pelanggan dan sebagainya boleh diperolehi dengan serta merta oleh beliau pada bila-bila masa. Beliau mampu untuk mengetahui apa-apa maklumat mengenai inventori, penghutang, pemiutang dan segala untung dan rugi syarikat pada sepanjang masa di dalam tempoh yang singkat dan dengan begitu mudah sekali. Ini akan membantu beliau secara langsung untuk membuat keputusan yang tepat. Ianya memberikan beliau kekuatan di dalam sebarang rundingan dengan mana-mana pihak yang terlibat.


(v) Usahawan berkenaan berupaya mewujudkan nilai bersama yang amat disenangi oleh kesemua pembantu serta pekerja di dalam organisasi beliau. Dengan itu wawasan dan hasrat organisasi akan cuba dipenuhi oleh semua pihak yang terlibat dengan penuh kesungguhan kerana beliau amat dihormati dan dikasihi oleh para pekerja dan bukannya sentiasa ditakuti atau digeruni.


(vi) Produk atau perkhidmatan yang dibekalkan oleh organisasi tersebut adalah merupakan sesuatu yang terkhas dan mempunyai kualitinya tersendiri. Pengguna akan berusaha untuk mendapatkan produk atau perkhidmatan tersebut walaupun tanpa sebarang promosi. Produk atau perkhidmatan tersebut mempunyai kekuatannya tersendiri. Usahawan sebegini tidak memerlukan bantuan peribadi orang-orang yang tertentu bagi melobi mana-mana pihak untuk membolehkan produk atau perkhidmatan beliau diterima oleh pihak pembeli. Beliau juga tidak perlu melibatkan diri di dalam sebarang transaksi yang berunsur rasuah bagi memajukan serta memasarkan sebarang produk atau perkhidmatan yang disediakan.


(vii) Usahawan tersebut tidak bergantung kepada mana-mana pemiutang kewangan (melainkan pemiutang perdagangan). Keadaan ini akan memberikan peluang kepada beliau untuk menceburi di dalam bidang-bidang yang baru tanpa mempunyai tanggungan (liabilities) yang banyak. Berbagai-bagai pihak termasuk institusi-institusi kewangan akan berusaha untuk menawarkan pakej-pakej tertentu untuk menambat hati usahawan tersebut memandangkan reputasinya yang baik. Beliau menjadi tumpuan serta perhatian intitusi-institusi berkenaan dan setiap pihak merasa yakin dan gembira apabila dapat menjalankan usahasama dengan usahawan berkenaan.

(viii) Perkembangan perniagaan organisasi tersebut tidak bergantung langsung dengan pertolongan sesiapa sama ada dari kalangan ahli-ahli politik, orang-orang berpengaruh, kawan-kawan atau ahli keluarga yang berpengaruh dan usahawan tersebut juga tidak terhutang budi dengan mana-mana pihak yang tersebut di atas. Organisasi ini mempunyai kekuatannya tersendiri di dalam membuat sesuatu keputusan. Keputusan yang akan dibuat tidak dapat dipengaruhi oleh mana-mana pihak sama ada dari luar atau dalam dan hanya dibuat berdasarkan kepentingan perniagaan dan masyarakat.


(ix) Perniagaan dilakukan sepenuhnya dengan mengikuti kehendak agama dan undang-undang negara. Perniagaan yang seumpama ini akan sentiasa diberkati. Usahawan berkenaan akan dapat menjalani penghidupan dengan penuh ketenangan dan kedamaian tanpa kerisauan terhadap kemungkinan di tangkap atau didakwa terhadap sesuatu kesalahan.


Pengukuran terhadap usahawan berjaya sering dikelirukan. Adakah seseorang usahawan akan menjadi semakin sibuk dari hari ke hari? Adakah dengan kesibukan yang bertambah menunjukkan bahawa usahawan tersebut telah berjaya dan patut dicontohi ? Pengukuran sebenar terhadap kejayaan seseorang usahawan sepatutnya dilakukan dengan berpandukan kepada nilai-nilai yang dinyatakan di atas. Sekiranya nilai-nilai tersebut telah dimiliki dengan sempurna kita akan dapati seseorang usahawan tersebut akan menjadi semakin kurang sibuk dan sentiasa tenang pada setiap masa dan keadaan. Kedudukannya menjadi bertambah penting di dalam masyarakat. Kredibiliti beliau semakin bertambah dari hari ke hari dan pandangan serta nasihat beliau akan dipandang berat oleh semua pihak.

Walaupun begitu nilai-nilai seumpama ini hanya dapat diwujudkan hasil dari usaha yang bersungguh-sungguh dan dengan penuh kegigihan.


Ramai di antara para usahawan yang wujud pada ketika ini terbahagi kepada tiga golongan yang besar iaitu:


a) Usahawan yang menjalankan operasi perniagaan dengan penuh kesungguhan dan komitmen. Beliau dikenali oleh masyarakat sebagai seorang peniaga yang berjaya. Walaubagaimanapun penghidupan harian beliau terlalu sibuk dan tanpa kehadiran beliau selama beberapa hari sahaja, perniagaan beliau akan terjejas dengan ketara sekali. Kemajuan atau kemunduran perniagaan beliau bergantung secara langsung kepada kehadiran beliau di tempat perniagaan dan setiap kali beliau meninggalkan perniagaan untuk bercuti ( seperti pergi menunaikan haji) beliau meninggalkannya dengan perasaan syak wasangka dan kurang percaya. Tidak hairanlah sekiranya terdapat berita mengenai usahawan yang mendapati perniagaan beliau hampir musnah sebaik sahaja beliau pulang dari bercuti panjang atau keluar dari wad hospital.


b) Usahawan yang memiliki perniagaan tetapi tidak mengetahui apa yang sebenarnya berlaku di dalam organisasi beliau sendiri. Setiap urusan diserahkan kepada pembantu atau rakan kongsi yang lain. Apa yang diketahuinya ialah pulangan kewangan yang lumayan pada setiap bulan atau setiap tahun daripada perniagaan tersebut. Perlaksanaan sebenar operasi perniagaan langsung tidak diketahuinya. Usahawan seumpama ini juga biasanya adalah seseorang yang telah berusaha bertungkus lumus untuk mendapatkan lesen, permit tertentu dan setelah lesen tersebut diperolehi, perniagaan tersebut diserahkan untuk dikendalikan oleh orang lain. Apa yang penting ialah pada setiap bulan beliau akan perolehi habuannya sebagaimana yang telah dijanjikan.


c) Usahawan yang memberikan sebahagian besar tanggungjawab penting di dalam oganisasinya kepada individu tertentu tanpa beliau sendiri mengetahui aspek perlaksanaan setiap pekerjaan tersebut. Apa yang beliau lakukan ialah menandatangani dokumen-dokumen tertentu apabila diberikan oleh pembantu-pembantunya serta menghadirkan diri ke mana-mana mesyuarat apabila perlu. Mesyuarat yang di adakan juga adalah untuk mengesahkan keputusan yang telah dibuat oleh pembantunya. Usahawan seumpama ini berasa gembira kerana tidak perlu banyak memikirkan tentang operasi perniagaan. Tanpa beliau sedari bahawa perbuatan itu meletakkan dirinya di dalam keadaan yang berisiko tinggi. Beliau terdedah kepada tanggungjawab terhadap sebarang salahlaku yang mungkin boleh dilakukan oleh pembantu-pembantunya dan semua dokumen yang ditandatanganinya tanpa memahaminya boleh memberikan implikasi yang berat di kemudian hari nanti. Beliau akan terpaksa menanggung segala risiko serta bertanggungjawab (accountable) di atas segala keputusan serta perjalanan syarikat tersebut.

Tidak ramai daripada kalangan usahawan yang termasuk di dalam kategori ke empat di mana beliau mempunyai perniagaan yang begitu maju dengan sistem operasi perniagaan yang mantap. Sistem tersebut telah beliau bina dengan sebegitu baik sehingga tanpa kehadiran beliau sekalipun ianya dapat beroperasi dengan jaya dan dapat diperbaiki dari masa ke semasa. Usahawan ini berkemampuan untuk memajukan serta mempelbagaikan (diversify) perniagaan yang diceburinya dengan begitu mudah sekali.

Sebahagian besar usahawan merasakan bahawa masa yang dimiliki olehnya adalah kurang daripada 24 jam di dalam sehari. Ini ialah kerana aktiviti hariannya memerlukan beliau untuk bertugas dengan beban yang jauh lebih daripada orang kebiasaan. Beliau merasakan bahawa masa yang dimilikinya hanyalah 15 jam dalam sehari manakala orang lain memperolehi masa lebih daripada 24 jam sehari. Beliau sentiasa berazam untuk menguruskan masa dengan baik sekali pada setiap hari tetapi sebaik sahaja beliau menjejakkan kakinya ke pejabat, beliau akan dihampiri oleh pekerjanya memberitahukan masalah-masalah tertentu. Beliau akan memberikan masa untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pekerja tersebut. Sekiranya beliau memerlukan 3 jam untuk menyelesaikan masalah tersebut, segala urusan harian beliau akan tamat hanya dengan menyelesaikan tiga atau empat masalah yang seumpama itu. Dengan cara pengurusan seumpama ini, usahawan berkenaan akan sentiasa berada di dalam keadaan yang sibuk dan tidak terurus. Punca utama ialah ketidakmampuan beliau untuk membangunkan (develop) pembantu dan pekerja organisasi beliau. Justeru itu segala masalah di dalam operasi tidak dapat diselesaikan oleh pembantu dan pekerja beliau. Beliau bukannya menjadi pengurus tetapi menjadi penerima masalah pekerja. Pengurus yang cekap adalah seseorang yang bukan sahaja mampu mengurus dengan baik malah merupakan ‘pengedar masalah’ kepada pembantu dan pekerja mereka. Masalah yang timbul akan diberikan kepada pembantu dan pekerja beliau untuk diselesaikan. Para pekerja bersedia untuk menyambut setiap cabaran yang diberikan dengan penuh kerelaan hati. Dengan cara ini sifat pembantu dan pekerja mereka akan dibangunkan dan dimajukan dari semasa ke semasa. Justeru itu budaya “bekerja untuk belajar” dapat diwujudkan. Dengan budaya sebegini setiap pekerja akan sentiasa berkeinginan untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dari masa ke semasa. Namun begitu budaya yang wujud pada ketika ini adalah sebaliknya. Sejak dari bangku sekolah lagi pelajar-pelajar dinasihatkan untuk belajar bersungguh-sungguh untuk dapat kerja yang baik. Ini adalah budaya “belajar untuk kerja”.

Walaubagaimanapun bukanlah bermakna rungutan serta keluhan pekerja tidak perlu diambil kira oleh pengurus. Pengurus yang baik akan mendengar dengan teliti dan dengan penuh perhatian kepada aduan yang diberikan oleh pekerja mereka. Sekiranya anda sedang membuat kerja sebaik-baiknya anda berhenti kerja (tutup fail yang sedang dikerjakan) dan tumpukan perhatian kepada masalah yang diberitahu. Cuba fahami masalah tersebut serta berilah panduan bagi pekerja tersebut untuk menyelesaikan masalah berkenaan. Pastikan beliau tinggalkan bilik nanti dengan membawa masalah tersebut bersamanya dan bukannya meninggalkan untuk anda selesaikan. Anda akan menjadi usahawan yang berjaya.

Apabila saya nyatakan perkara seperti ini sebahagian pembaca mungkin mengatakan bahawa justeru itu para pengurus tidak perlu mengetahui tentang selok belok operasi. Ini adalah suatu kenyataan yang tidak benar. Pengurus hendaklah merupakan seorang yang paling pakar dan berpengetahuan di dalam operasi yang dilaksanakan oleh organisasi beliau. Walaubagaimanapun ianya tidak perlu ditunjukkan dengan ketara. Beliau sendiri sebenarnya telah mengetahui cara-cara penyelesaian terhadap sebarang masalah yang dibawakan, tetapi di atas dasar mendidik dan memimpin, beliau akan galakkan masalah tersebut diselesaikan oleh pekerja-pekerja beliau.


Seorang usahawan telah menceritakan:

Di dalam saya menjalankan perniagaan, langkah seperti berikut telah saya ambil. Apabila sesuatu perniagaan dimulakan, saya pastikan bahawa saya mempunyai kemahiran yang mendalam mengenai operasi perniagaan yang dijalankan itu. Sistem operasi, perakaunan, kewangan, perjawatan dan sebagainya adalah disediakan oleh saya sendiri. Pengambilan pekerja saya dilakukan dengan memberikan keutamaan kepada sifat-sifat jujur, taat, berdisiplin dan sebagainya. Saya memberikan latihan dan tujuk ajar secara jujur kepada para pekerja saya sehingga mereka dapat mengendalikan operasi tanpa kehadiran saya. Cita-cita, wawasan saya serta cara saya membuat keputusan diketahui oleh mereka. Dengan usaha sedemikian saya lebih menumpukan kepada urusan pentadbiran harian di organisasi tersebut. Ini termasuklah perkara yang berkaitan dengan perakaunan, pengendalian pembekal dan sebagainya. Di dalam tempoh yang singkat saya dapat menyerahkan urusan pentadbiran ini kepada pekerja-pekerja saya dan pada masa itu saya lebih terlibat dengan pengurusan umum syarikat dan mula menceburi di dalam aspek penyelidikan dan pembangunan. Apabila pentadbiran dijalankan dengan baik, saya tidak lagi perlu hadir sepenuh masa di organisasi perniagaan saya. Aktiviti harian saya lebih tertumpu kepada penyelidikan dan pembanguna terhadap produk syarikat serta penyelidikan di dalam mencari bidang perniagaan yang baru. Sebahagian daripada para pekerja telah saya libatkan di dalam pengurusan syarikat secara sepenuh masa. Penyelidikan dan kajian yang saya lakukan telah menjadikan produk dan perkhidmatan yang syarikat kami bekalkan berbeza dan lebih berkualiti dari produk dan perkhidmatan dari syarikat-syarikat lain. Justeru itu tanpa memerlukan promosi, pengiklanan dan sebagainya perkhidmatan syarikat kami mendapat sambutan yang memberangsangkan dari masa ke semasa”.

Sebahagian besar usahawan dan individu di dalam masyarakat mempunyai hasrat yang tinggi untuk menjadi kaya dan dapat hidup dengan mewah dan selesa. Niat sebegini bukanlah sesuatu yang salah atau memudaratkan. Walaubagaimanapun menjadi kaya dan hidup mewah adalah sebenarnya bukan sesuatu yang terakhir (ultimate) di dalam hidup seseorang. Ini memandangkan terdapat orang-orang yang telah kaya raya dan hidup dengan mewah tetapi memiliki masalah yang bertimbun-timbun di dalam penghidupannya. Antaranya ialah seperti sentiasa di dalam ketakutan, dikelilingi oleh ramai rakan-rakan yang berpura-pura dan tidak jujur, masalah sosial anak-anak, kesibukan harian yang bertambah, susah untuk tidur dan sebagainya. Justeru itu, apabila memperkatakan mengenai perkara ini saya berpendapat cita-cita yang baik dan wawasan yang jujur yang perlu dibuat mengenai aspek kewangan seseorang ini ialah untuk mendapatkan kebebasan kewangan (financial freedom). Sebagai contoh, seorang telah memberitahu saya, “Saya berhasrat, InsyaAllah saya akan berusaha dengan bersungguh-sungguh agar saya akan mencapai kebebasan kewangan sebelum saya berumur 40 tahun”.

Apakah kebebasan kewangan? Anda telah mencapai kebebasan kewangan apabila anda tidak lagi perlu bekerja untuk memperolehi keperluan kewangan anda. Sebagai contoh, keluarga anda memerlukan lebihkurang RM 3,000.00 sebulan. Tanpa anda bekerja, anda telah perolehi 5,000.00 sebulan. Dengan itu anda


    1. Mempunyai masa yang banyak untuk bersama dengan ahli keluarga. Anda berupaya untuk terlibat secara langsung terhadap pendidikan anak-anak anda sendiri.

    2. Mempunyai masa untuk beribadat, belajar agama, memakmurkan masjid, berdakwah dan sebagainya

    3. Mempunyai masa dan berkemampuan untuk berbelanja bagi mengerjakan haji, umrah dan menziarahi umat Islam yang lain serta menjalankan usaha dakwah.

    4. Mempunyai masa dan berkemampuan untuk bersedekah, membantu ahli masyarakat yang susah dan menjalankan aktiviti-aktiviti yang membantu masyarakat secara langsung


Bagaimanakah untuk mencapai semua ini? Ianya bukan sesuatu yang mustahil. Walaubagaimanapun ianya sesuatu yang memerlukan daya pemikiran yang kuat, kesungguhan, keberanian dan sifat-sifat keusahawanan yang jitu. Seorang kawan telah memberitahu saya bahawa beliau telah tidak perlu menjalankan sebarang kerja harian lagi pada ketika ini. Beliau banyak menghabiskan masanya di rumah bersama keluarga, di masjid-masjid dan di madrasah-madrasah. Namun begitu pada setiap bulan beliau perolehi pendapatan yang tidak kurang daripada RM 8,000.00. Di samping itu pula segala perbelanjaan penyenggaraan kenderaan, minyak kereta, bil telefon dan sebagainya dibayar sepenuhnya oleh syarikat-syarikat beliau. Beliau memulakan usaha asal hanya dengan bermodalkan RM 10,000.00 yang juga dipinjam selama 6 bulan dari dua orang kawan. Beliau sekarang ini berada di dalam Lembaga Pengarah 8 buah syarikat yang telah beliau tubuhkan daripada mula. Sistem perniagaan telah berjalan dengan licin membolehkan beliau meninggalkan sepenuhnya operasi harian kesemua syarikat-syarikat ini. Nilai aset semua syarikat-syarikat beliau sekarang ini tidak kurang daripada 3 juta walaupun ianya hanya ditubuhkan tidak kurang daripada 10 tahun. Apabila ditanya apakah rahsianya beliau memberitahu: “berfikir dengan betul, jujur, bekerja secara berpasukan”.




01
August 2008 Friday @ 3:47:26 am
Melintang Patah (1. KENAPA BERNIAGA ? )


KENAPA BERNIAGA ?

____________________________________________


Saya berniaga kerana mengikut kawan’, kata Ahmad.


Saya berniaga kerana saya tidak suka di perintah dan dikawal oleh sesiapa’, kata Zainal.


Saya pula berniaga untuk menjadi kaya dan hidup mewah’, kata Sabri.


Saya berniaga supaya saya dikenali ramai’, kata Azmi.


Saya berniaga kerana semua adik-beradik saya berniaga’, kata Nasir.


Ini adalah di antara beberapa alasan yang diberikan oleh para usahawan yang mula menceburkan diri di dalam bidang perniagaan. Terdapat banyak lagi alasan-alasan lain yang sering kita perolehi seperti ingin berdikari, ingin membantu keluarga, kerana tiada pilihan lain, kerana dicabar kawan atau keluarga dan berbagai-bagai lagi. Walau apa pun alasan yang diberikan, namun proses untuk berjaya di dalam sesuatu bidang perniagaan adalah tetap sama kerana persiapan yang sebaik mungkin perlu dilakukan sebelum membuat keputusan untuk berniaga. Tanpa persiapan yang lengkap kemungkinan untuk menemui kegagalan dan kekecewaan adalah terbuka luas. Kenyataan ini bukan hanya ditujukan kepada para peniaga malah di dalam semua aspek penghidupan, kejayaan tidak akan datang bergolek tetapi hendaklah melalui perancangan yang teratur, perlaksanakan usaha yang betul dengan penuh kesungguhan disertai dengan doa dan tawakkal yang sempurna.

Bagi mereka yang berniaga kerana mengikuti kawan, mereka mempunyai risiko kekecewaan dan kegagalan apabila kawan yang diikuti itu tidak mempunyai ciri-ciri keusahawanan yang diharapkan dan menjalankan perniagaan tidak secara profesyenal dan beretika. Usahawan ini akan hanya membuang masa, tenaga dan wang ringgit beliau dengan mengikuti kawan yang sedemikian. Keadaan menjadi lebih teruk sekiranya kawan yang kita contohi tersebut melakukan kesilapan yang serius di dalam menjalankan perniagaan dan seterusnya berakhir di penjara atau menemui kegagalan yang serius di dalam perniagaannya. Usahawan yang mengikutnya juga berkemungkinan berakhir di tempat yang sama.

Sekiranya seseorang itu berniaga kerana tidak suka diperintah oleh sesiapa dan tidak gemarkan sebarang bentuk disiplin di tempat kerja, maka beliau telah membuat suatu keputusan yang salah dengan menceburi bidang perniagaan kerana tanpa keupayaan untuk mendisiplinkan diri sendiri beliau tidak akan dapat berjaya dengan cemerlang di dalam sebarang perniagaan yang diceburi. Kita hendaklah bersedia untuk taat dan patuh kepada pemimpin dan ketua kita pada sepanjang masa. Siapakah ketua kita? Di dalam keusahawanan, ketua kita adalah tugas dan persekitaran perniagaan yang telah kita bina. Ianya termasuklah para pelanggan, pembekal, pekerja-pekerja dan masyarakat umum. Oleh itu hakikat sebenar ialah dengan menceburi bidang perniagaan, seseorang itu akan lebih terkongkong dan terikat di dalam menjadi manusia yang taat, jujur, berdisiplin, bercakap benar dan sebagainya.

Sekiranya sesiapa menceburi bidang perniagaan dengan tujuan untuk hidup mewah dan dengan penuh kekayaan, perlu kita renungkan bahawa tidak sedikit juga bilangan usahawan yang terpaksa gulung tikar, diisytihar muflis atau menanggung hutang yang berjuta-juta ringgit hasil penglibatan beliau di dalam perniagaan. Tidak sedikit juga yang terpaksa menghabiskan sisa-sisa hidup di dalam penjara akibat daripada kegiatan masing-masing di dalam dunia perniagaan. Walau apa pun hasrat dan cita-cita kita menceburi bidang ini, adalah menjadi kewajipan untuk mempersiapkan diri kita terlebih dahulu sebelum betul-betul menceburi bidang perniagaan yang begitu mencabar ini.

Sebelum kita berbincang dengan lebih mendalam mengenai bidang keusahawanan ini adalah lebih baik untuk kita takrifkan terlebih dahulu apakah maksud daripada perkataan “usahawan” itu yang sebenarnya. Pelbagai pihak telah memberikan takrifan yang berbeza. Sesetengah pihak mentakrifkan bahawa usahawan adalah sesiapa sahaja yang berusaha untuk mencapai sesuatu perkara manakala sesetengah pihak pula mentakrifkan bahawa usahawan adalah merupakan para peniaga. Justeru itu apabila perkataan usahawan disebutkan maka pelbagai pihak mempunyai pemahaman yang berbeza mengenai perkara yang sama. Begitu juga dengan perkataan “usahawan” yang terdapat di dalam buku ini. Ianya mempunyai pemahaman yang agak berbeza dengan takrifan umum yang wujud secara keseluruhannya.

Kesemua ahli masyarakat secara keseluruhan dapat dibahagikan kepada 4 bahagian utama berdasarkan kepada sumber pendapatan mereka. Mereka terdiri daripada:


  1. Sumber pendapatan daripada penggajian (employed)

  2. Sumber pendapatan daripada pekerjaan sendiri (self employed)

  3. Sumber pendapatan daripada perniagaan yang dimilikinya (Bussiness owner)

  4. Sumber pendapatan daripada pelaburan yang telah dibuat (Investor)


Kategori yang memperolehi pendapatan melalui penggajian dapat dibahagikan kepada kakitangan kerajaan dan kakitangan swasta. Secara keseluruhannya kesemua mereka adalah bekerja dengan orang lain. Mereka akan dibayar gaji bulanan, mingguan dan sebagainya bergantung kepada kadar yang telah ditetapkan. Pendapatan yang diperolehi pada keadaan biasa adalah tidak berkadar langsung dengan jumlah kerja dan usaha yang dilaksanakan. Kesungguhan mereka dan kejayaan mereka di dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan akan menambahkan prestasi organisasi tempat mereka bekerja. Kenaikan gaji akan diperolehi apabila dipersetujui oleh majikan. Biasanya ahli masyarakat yang memilih untuk bekerja secara begini adalah kerana mereka mengutamakan jaminan masa depan yang dijanjikan oleh majikan sama ada pihak kerajaan atau swasta. Sebahagian besar daripada ahli masyarakat yang tergolong di dalam kategori ini akan bekerja sehingga sampai ke tahap umur pencen dan sebahagian daripadanya akan menyambung kontrak selepas pencen sekiranya diizinkan.

Kategori kedua ialah mereka yang menjalankan kerja atau perniagaan sendiri. Mereka adalah merupakan suatu golongan yang berani untuk mengambil risiko di dalam menentukan masa depan mereka. Namun begitu operasi perniagaan mereka amat bergantung kepada kehadiran dan pengendalian mereka secara langsung. Kehadiran dan ketidakhadiran mereka di dalam operasi perniagaan memberikan kesan yang ketara terhadap prestasi keseluruhan perniagaan mereka. Secara kasar, diri mereka sendiri itulah yang merupakan “sistem perniagaan” di dalam bidang perniagaan yang mereka ceburi itu. Justeru itu sekiranya mereka mereka inginkan pendapatan yang lebih, maka masa dan tenaga yang lebih perlu diberikan di dalam perniagaan tersebut. Ini bermakna masa yang diberikan bagi tujuan lain seperti bersama keluarga, berehat, beribadat dan sebagainya perlu dikurangkan. Kategori ini adalah terdiri daripada peniaga-peniaga kecil, mereka yang mempunyai kepakaran seperti tukang jahit, tukang rumah dan sebagainya serta para profesyenal seperti doktor swasta, para peguam dan sebagainya.

Kategori ketiga adalah terdiri daripada mereka yang memiliki perniagaan. Operasi perniagaan dilaksanakan oleh orang lain berdasarkan “sistem perniagaan” yang telah dicipta terlebih dahulu. Di dalam kategori ini jumlah pendapatan yang diperolehi tidak dipengaruhi oleh jumlah masa yang diberikan oleh mereka. Pendapatan yang diperolehi daripada sumber sedemikian akan terus menerus diperolehi tanpa dikaitkan dengan kehadirannya atau tidak.

Kategori keempat adalah terdiri daripada golongan yang mempunyai pelaburan didalam perniagaan-perniagaan tertentu. Di dalam kategori ini juga jumlah pendapatan yang diperolehi tidak dipengaruhi oleh jumlah masa yang diberikan oleh mereka.

Sebagai ringkasan:


  1. Golongan pertama: bekerja untuk orang lain

  2. Golongan kedua: bekerja untuk diri sendiri

  3. Golongan ketiga: orang lain bekerja untuk dirinya

  4. Golongan keempat: wang yang bekerja untuk dirinya


Di dalam membincangkan siapakah usahawan, saya lebih gemar untuk memilih golongan ketiga dan keempat di dalam takrifan saya sebagai golongan usahawan. Sebahagian rakan-rakan bertanyakan saya kenapakah golongan kedua tidak terpilih? Golongan kedua ini adalah merupakan usahawan apabila mereka berupaya mewujudkan “sistem perniagaan” di dalam aktiviti perniagaan mereka. Apabila sistem perniagaan telah diwujudkan, maka mereka telah berpindah menjadi golongan ketiga dan pada ketika itu mereka adalah sebenarnya usahawan. Tanpa mewujudkan sistem perniagaan yang tersendiri, risiko untuk pemberhentian atau kemerosotan perniagaan adalah terlalu tinggi. Peniaga sedemikian terpaksa bekerja lebih keras demi untuk memperolehi pendapatan yang lebih dan memandangkan tenaga seseorang makin berkurangan dengan peningkatan umur, maka kemungkinan besar perniagaan sedemikian akan dihentikan apabila beliau telah tidak berupaya lagi untuk bertugas.

Usahawan ialah seseorang yang sentiasa berusaha dengan gigih dan secara berterusan untuk membina dan memajukan usaha-usaha tertentu yang akan memberikan manfaat kepada semua pihak. Pada kebiasaannnya usaha sedemikian dilaksanakan dari permulaan lagi dan dilaksanakan secara berpasukan.

Antara perkara penting yang perlu diperhatikan di dalam definisi di atas ialah perkataan berikut:


  • berusaha dengan gigih


Seseorang yang menjalankan usaha dengan sambil lewa atau “melepaskan batuk di tangga” tidak termasuk di dalam golongan ini.


  • secara berterusan


Usaha hendaklah dilaksanakan secara berterusan dan bukannya seperti “hangat-hangat tahi ayam”. Ini bermaksud usaha tersebut tetap diteruskan walaupun dengan ketiadaannya. Justeru itu hanya golongan ketiga dan keempat seperti di atas yang saya masukkan di dalam senarai usahawan. Bagi golongan kedua, usaha untuk memasukkan diri di dalam golongan ketiga perlu dilaksanakan untuk membolehkan perniagaan tersebut di teruskan dengan ketiadaan dirinya.


  • memberi manfaat kepada semua pihak


Ini adalah faktor penting di dalam menentukan nilai keusahawanan seseorang. Sekiranya usaha yang dilakukan olehnya hanya memberikan manfaat kepada golongan tertentu sahaja dan sebahagian yang lain mendapat kesusahan dan kemudaratan, beliau belum boleh dipanggil seorang usahawan. Beliau mungkin merupakan seorang ahli politik atau ahli di dalam persatuan-persatuan tertentu. Faktor inilah yang membezakan di antara seorang usahawan dengan seorang “usahawang”.


  • usaha dilaksanakan dari permulaan


Ini menggambarkan keupayaan berfikir dan daya kreativiti seseorang. Fenomena yang umum di dalam masyarakat pada masa ini ialah untuk meniru apa yang orang lain lakukan. Justeru itu adalah tidak menghairankan bagi kita apabila melihat di dalam sesuatu lorong di bandar di dapati penuh dengan kedai “cyber café” atau terdapat kedai-kedai yang menjual perkara yang sama. Contohnya apabila sebuah kedai telah berjaya memperkenalkan sesuatu perkara baru maka mungkin 10 kedai yang lain akan tumbuh disekitar tempat tersebut yang menjual perkara yang sama. Hakikat sebenar ialah terdapat terlalu sedikit bilangan usahawan sebenar yang terdapat dikalangan masyarakat kita.


  • secara berpasukan


Inilah yang membezakan di antara mereka yang bekerja sendiri(golongan kedua) dan mereka yang memiliki perniagaan (golongan ketiga). Walaupun golongan mereka yang bekerja sendiri juga mungkin memiliki pekerja-pekerja di dalam organisasi beliau, tetapi hanya beliau seorang yang dapat membuat segala keputusan dan operasi akan terhenti dengan ketiadaan beliau. Bagi mereka yang memiliki perniagaan, operasi tetap berjalan seperti biasa walaupun tanpa kehadiran beliau. Ini seterusnya menggambarkan kewujudan suasana bekerja secara berpasukan yang sebenarnya. Pasukan yang sebenar tidak akan terbubar atau terjejas dengan ketiadaan seorang daripada ahli pasukan.


My Profile
Name: Ayah Cik Losong
E-Mail: ayahcik@losong.com